Omar Ahmad


Johor Bahru : Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), menitahkan larangan mencemarkan masjid dan surau di negeri ini dengan dakyah politik.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, titah baginda selaras dengan Seksyen 96 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003.

Katanya MAINJ turut memberi amaran dan melarang sekeras-kerasnya kepada mana-mana individu atau ahli politik untuk tidak menjadikan masjid sebagai tempat penyebaran atau perbincangan hal ehwal politik.

"Ingin ditegaskan bahawa penganjuran program-program berbaur politik di dalam masjid tidak boleh dilaksanakan sama sekali dan mana-mana pihak yang berkompromi membenarkan pelaksanaan program berunsur politik juga akan diambil tindakan.

"Sebarang aktiviti berbentuk ceramah agama, usrah, perkongsian ilmu agama atau lain-lain perlulah mendapat tauliah kebenaran dan kelulusan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

"Penceramah atau tenaga pengajar yang menyampaikan ceramah dan perkongsian ilmu juga perlu mendapat pentauliahan dan pengiktirafan rasmi MAINJ terlebih dulu. Keputusan kelulusan daripada MAINJ menjadi keutamaan dan penekanan berhubung isu larangan ceramah politik di dalam masjid perlu diberikan perhatian serius, "katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di selepas Masyuarat Khas MAINJ di Bukit Timbalan di sini, hari ini.

Menurut Mohd Fared, titah arahan larangan itu akan ditampal di 850 masjid dan 2,000 surau seluruh Johor dengan kadar segera.

Katanya MAINJ juga akan mengadakan pertemuan dengan pengerusi masjid, surau, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ketua setiap parti politik di negeri ini.

"Penerangan akan diberikan kepada mereka dalam pertemuan yang dijangka akan diadakan secepat mungkin, kita memandang serius isu larangan ini dan mahu semua masyarakat faham mengenainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 8:48 PM