Paya Linda Yahya

Gua Musang: Tahun ini menjadi tahun kedua Masjid Razaleigh di sini yang mirip Masjidilharam di Makkah digunakan untuk solat Tarawih sepanjang Ramadan.

Dijangka kira-kira 2,000 jemaah bakal bersolat di masjid itu, malah gotong-royong turut diadakan hari ini untuk membersihkan ruangan masjid agar lebih suci.

Imam Muda Masjid Razaleigh, Muhamad Khirul Safarudin Zulkifli berkata, gotong-royong itu persiapan akhir pengurusan masjid sebelum menyambut Ramadan.

"Kami mempunyai 14 pekerja pembersihan, tujuh sukarelawan dan tujuh kakitangan pejabat yang melakukan persiapan akhir pembersihan masjid bagi menyambut kedatangan jemaah yang akan mengimarahkan Ramadan," katanya ketika ditemui hari ini.

Menurut Muhamad Khirul Safarudin, Masjid Razaleigh mula digunakan untuk solat Tarawih pada April tahun lalu dan menerima jemaah dari dalam dan luar daerah.

Katanya, untuk Ramadan, pelbagai program sudah diatur dan masjid itu akan beroperasi selama 24 jam.

"Selain solat Tarawih, kita merancang untuk menyediakan iftar secara harian, iftar perdana dan hafazan al-Quran.

"Ramadan tahun ini pastinya lebih meriah kerana pada tahun lalu kita tidak dapat mengadakan banyak aktiviti kerana pandemik Covid-19," katanya.

PEKERJA pembersihan, sukarelawan dan kakitangan pejabat pengurusan masjid bergotong-royong membersihkan Masjid Razaleigh bagi menyambut kedatangan bulan Ramadan yang dijangka esok. FOTO Paya Linda Yahya
PEKERJA pembersihan, sukarelawan dan kakitangan pejabat pengurusan masjid bergotong-royong membersihkan Masjid Razaleigh bagi menyambut kedatangan bulan Ramadan yang dijangka esok. FOTO Paya Linda Yahya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 1:18 PM