ANGGOTA APM Daerah Muallim sedang memotong  dan membersihkan dahan pokok kelapa di tepi Masjid Sultan Idris Shah II. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN
ANGGOTA APM Daerah Muallim sedang memotong dan membersihkan dahan pokok kelapa di tepi Masjid Sultan Idris Shah II. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN
Rosman Shamsudin


Slim River: Bagi memastikan persekitaran kekal ceria dan bersih, seramai 12 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bergotong-royong untuk membersihkan kawasan Masjid Sultan Idris Shah II, dekat sini.

Program berkenaan dianjurkan ahli jawatankuasa masjid dengan kerjasama APM Daerah Muallim dan Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM).

Pegawai APM Daerah Kapten (PA) Shahrizal Hussin berkata, kawasan persekitaran masjid perlu dibersihkan secara berkala supaya kelihatan ceria sepanjang masa.

"Walaupun bilangan jemaah dibenarkan menunaikan solat adalah terhad sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, namun kawasan masjid perlu dibersihkan dan diselenggara dengan baik.

"APM menggunakan kekuatan anggota dan peralatan sedia ada bagi membantu membersih dan menceriakan kembali kawasan persekitaran masjid," katanya.

Program itu turut disertai Pegawai Daerah Muallim, Shamsul Ridzuan Idris dan dibantu kenderaan MDTM bagi kerja-kerja mengangkut pokok kelapa yang ditebang di tepi masjid.

Sementara itu, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKP) Kampung Kurnia, Rozali Ahmad, 59, berkata kedudukan masjid di tepi Jalan Ipoh-Kuala Lumpur menjadikan ia sebagai tempat persinggahan untuk menunaikan solat sekali gus perlu kelihatan bersih.

"Walaupun gotong royong hanya membabitkan ahli jawatankuasa masjid dan anggota APM, namun kerja-kerja pembersihan sekitara kawasan masjid tetap berjalan lancar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 5:31 PM