AHMAD Jalaludeen yang memakai baju hitam dan menutup kepala dijatuhi hukuman penjara 33 tahun dan 24 sebatan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual. FOTO Aminah Yusof
AHMAD Jalaludeen yang memakai baju hitam dan menutup kepala dijatuhi hukuman penjara 33 tahun dan 24 sebatan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual. FOTO Aminah Yusof
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Ejen insurans dijatuhi hukuman penjara 33 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal serta merakam video pornografi terhadap seorang remaja lelaki, pada 2019.

Hakim Mazdi Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Ahmad Jalaludeen Rahumathulla, 36, didapati bersalah terhadap tiga pertuduhan berkenaan tanpa sebarang keraguan dengan menimbangkan keseluruhan fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan.

Berdasarkan pertuduhan pertama tertuduh didapati melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang pada ketika itu berusia 14 tahun dan belajar di sebuah sekolah menengah di sini.

Menurut pertuduhan kedua dan ketiga, Ahmad Jalaludeen sekali lagi didakwa melakukan amang seksual fizikal selain membuat rakaman pornografi terhadap remaja lelaki terbabit.

Semua perbuatan itu dilakukan di rumah tertuduh di Desa Mawar di sini antara jam 1 tengah hari dan 3 petang sekitar bulan Disember 2019.

Bagi dua kesalahan melakukan amang seksual fizikal tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan melakukan rakaman pornografi tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan minimum enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun, serta 14 sebatan untuk pertuduhan pertama dan kedua dengan tambahan hukuman penjara 15 tahun serta 10 sebatan bagi pertuduhan ketiga.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Aimy Zainul Anwar manakala tertuduh diwakili peguam, V Parthipan.

Prosiding hari ini turut dihadiri Pengarah Pendakwaan Pulau Pinang, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim yang memohon tiada penangguhan hukuman terhadap tertuduh.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman berkuat kuasa hari ini dan tidak membenarkan penangguhan hukuman yang dijatuhkan kepadanya.

Tertuduh sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia empat bulan mengemukakan tiga saksi manakala pihak pandakwaan menampilkan tujuh saksi sepanjang kes berjalan sejak 2020.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh pada mulanya menyamar sebagai wanita berkenalan dengan remaja itu melalui platform media sosial dan memancing mangsa supaya berkongsi gambar bogel miliknya sebelum mengugut remaja itu untuk menyebarkan foto berkenaan.

Kemudian, tertuduh menyamar sebagai individu lain yang kononnya berpura-pura mahu membantu mangsa menyelesaikan isu itu sebelum membawa remaja itu pulang ke rumahnya.

Dalam pertemuan itu, tertuduh melakukan amang seksual, meliwat dan melakukan perbuatan onani terhadap mangsa selain merakam aksi jijik berkenaan dan menyebarkannya kepada rakan mangsa di media sosial.

Kejadian itu terbongkar selepas rakan sekolah mangsa melihat video aksi tersebut yang hanya memaparkan wajah mangsa sebelum mamaklumkannya kepada pihak sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2023 @ 7:11 PM