Paya Linda Yahya


Gua Musang: Polis merampas 34 kilogram (kg) ganja mampat bernilai RM85,000 ketika operasi snap check di Kilometer (KM) 8 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis di sini, semalam.

Dalam operasi 6 petang itu, seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun dan wanita warga Filipina berusia 46 tahun ditahan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, hasil siasatan terhadap kenderaan Perodua Axia menemukan 34 ketulan ganja mampat di tempat duduk belakang.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 34 bungkusan ganja mampat dengan anggaran kasar satu kg setiap ketulan. Dipercayai ganja itu diperoleh dari negara jiran untuk dibawa ke Kuala Lumpur melalui negeri ini.

"Ketulan ganja ini boleh digunakan seramai 34,000 penagih dan anggaran harga kira-kira RM85,000," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, di sini, hari ini.

Sik berkata, lelaki terbabit dipercayai sebagai transporter dan pihaknya percaya itu adalah penghantaran kali kedua bagi suspek.

SIK (tengah) menunjukkan ketulan mampat ganja yang dirampas. FOTO Paya Linda Yahya
SIK (tengah) menunjukkan ketulan mampat ganja yang dirampas. FOTO Paya Linda Yahya

"Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek lelaki mendapati positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (2019 & 2016).

"Suspek wanita tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan negatif dadah," katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Ahad ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B ADB 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 6:29 PM