NOR Farhani (kiri) ketika ditemui bersama keluarga di jeti Kampung Baru, Penarik, kelmarin. FOTO Faizul Azlan Razak
NOR Farhani (kiri) ketika ditemui bersama keluarga di jeti Kampung Baru, Penarik, kelmarin. FOTO Faizul Azlan Razak
Faizul Azlan Razak

Setiu: "Selepas arwah ayah dapat tahu saya mengandung, dialah orang yang paling gembira dan tidak sabar menyambut cucu ini.

"Arwah memang sukakan kanak-kanak dan kini hajatnya menimang cucu daripada saya tidak kesampaian," kata Nor Farhani Mahamad, 27.

Wanita itu berkongsi perihal ayahnya, Mahamad Haron, 63, yang ditemukan lemas selepas menguji bot gentian kaca di Sungai Kampung Baru Penarik di sini, semalam.

Nor Farhani berkata, selepas berkahwin, dia menetap bersama suaminya di Manir dan bakal melahirkan zuriat, dijangka September ini.

Katanya, dia terkejut apabila dimaklumkan arwah ayahnya tidak pulang ke rumah dan disyaki lemas, malah ibunya hanya menemui motosikal arwah di jeti.

"Ketika kejadian, saya berada di rumah di Manir dan bergegas pulang ke kampung. Ketika itu saya tidak putus berdoa supaya ayah ditemui selamat," katanya ketika ditemui.

Nor Farhani berkata, meskipun sedih dengan kehilangan Mahamad, mereka sekeluarga tetap reda dengan ketentuan Ilahi.

Guru taska di Panji Alam, Kuala Terengganu itu mengakui Ramadan dan Syawal tahun ini pasti berbeza buat mereka tanpa ayah tercinta.

"Selepas ini, saya dan kakak kembar Nor Farhana yang tinggal di Kuantan, Pahang akan bergilir-gilir menjaga ibu, Kamriah Ali yang berusia 65 tahun," katanya yang memberitahu akan kerap pulang ke kampung menjenguk ibunya.

Media melaporkan mayat Mahamad yang hilang sejak Sabtu ditemui terapung pada jarak 1.3 kilometer dari lokasi botnya oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada 6.40 petang semalam.

Jenazah Mahamad selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru Penarik pada 2 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 2:05 PM