MASJID yang terjejas akibat banjir di Parit Warijo, Sri Medan yang lalu. FOTO Arkib NSTP
MASJID yang terjejas akibat banjir di Parit Warijo, Sri Medan yang lalu. FOTO Arkib NSTP
Mohamed Farid Noh

Iskandar Puteri: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan merayu bantuan pasca banjir disalurkan segera kepada ribuan penduduk yang terjejas akibat banjir terburuk sejak 1986.

Zulkurnian berkata, kerosakan dan kemusnahan harta benda disebabkan banjir awal bulan ini amat besar dengan kediaman penduduk serta ladang-ladang sawit masih ditenggelami air manakala premis perniagaan musnah sepenuhnya.

Katanya, penduduk Sri Medan kini buntu berikutan bukan sahaja diuji kemusnahan harta benda malah hilang mata pencarian sehingga terputus punca pendapatan mereka.

"Datanglah ke Sri Medan, anda akan menangis lihat kemusnahan luar biasa disebabkan bencana banjir kali ini. Di Jalan Parit Warijo contohnya, 99 peratus rumah penduduk tenggelam.

"Selalunya banjir tak lebih daripada paras lutut, tapi banjir kali ini sampai tenggelam bumbung rumah. Dulu paras banjir hanya lima kaki (0.91 meter) namun kali ini lebih lapan kaki (2.43 meter). Saya sudah tak sanggup nak melihat kesedihan penduduk.

"Soal bantuan pasca banjir yang diumumkan kerajaan negeri dan Persekutuan macam mana yang dihebahkan, tolonglah segerakan. Saya dimaklumkan antara tiga hingga empat bulan baru dapat.

"Sedangkan penduduk rasa sedih, sayu dan hilang punca dengan kemusnahan luar biasa yang tidak terjangka ini. Siapa juga akan menangis dan hiba apabila lebih 90 peratus kediaman mereka rosak, segala perabot dan pakaian turut musnah," katanya dalam sesi perbahasan menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, hari ini.

Lebih 85,000 rakyat negeri ini dilaporkan terjejas akibat bencana banjir disifatkan antara terburuk pernah dihadapinya dengan Batu Pahat menjadi daerah paling terjejas teruk membabitkan kira-kira 50,000 mangsa.

Bencana banjir yang melanda negeri ini menjadi topik utama yang mendominasi hampir kesemua soalan lisan dan tambahan serta perbahasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada persidangan DUN Johor yang kini masuk hari ketiga, hari ini.

Dalam pada itu, Zulkurnain turut menyeru bantuan sukarelawan supaya membantu penduduk mampu mengembalikan kehidupan mereka terutama dalam kerja pembersihan

Katanya, emosi penduduk kini berada pada tahap rendah apabila kediaman serta persekitaran mereka rosak dan dipenuhi selut dan lumpur tebal.

"Saya seru datanglah ke Sri Medan, bantulah kami penduduk yang terbeban. Kita nak menghadapi anak-anak masuk IPTA, kita nak menghadapi anak-anak mula

bersekolah, kita nak menghadapi Ramadan, penduduk nak kembali berniaga, kita nak menghadapi hari raya.

"Jika beginilah keadaannya, saya ingat hari raya tahun ini tak ada. Kita anggap raya tak ada dan tangguhkan tahun depan, cuma kita meraikan kemenangan, itu saja," katanya yang juga mangsa banjir.

Zulkurnain turut menyeru supaya projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sri Medan yang berulang-kali dibentangkan di DUN supaya dilaksanakan segera.

"Sebelum ini diperuntukkan RM42 juta untuk program tebatan banjir di kawasan Sungai Simpang Kiri sudah sering diuar-uarkan, namun bila nak laksanakan

"Kita ada rancangan membina lapan rumah buah rumah pam tapi bila nak buat juga. Saya bercakap isu ini berulang-ulang, akhirnya saya seperti menipu rakyat. Sebab itu, tolonglah, ambil perhatian, anggaplah bencana ini sebagai darurat yang terpaksa kita lalui untuk membantu rakyat," katanya.

Zulkurnain turut mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan pembinaan Empangan Sri Medan bagi mengurangkan kesan banjir teruk berikutan muka bumi kawasan itu sebagai kawasan tadahan yang rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 12:46 PM