Proses melabuhkan tukun tiruan dasar lembut di perairan Pantai Bagan Nakhoda Omar (BNO), hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Proses melabuhkan tukun tiruan dasar lembut di perairan Pantai Bagan Nakhoda Omar (BNO), hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Amirul Aiman Hamsuddin


Sabak Bernam: Tidak hanya menjadi lokasi pembiakan ikan malah tukun tiruan mampu dijadikan 'senjata' menghalang kegiatan tamak nelayan pukat tunda yang gemar menceroboh pesisir pantai.

Terbaru, sebanyak 14 tukun tiruan dasar lembut bernilai RM 300,000 dilabuhkan Jabatan Perikanan Selangor di perairan Sabak Bernam, di sini, tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Izham Hashim berkata, inisiatif itu bertujuan menangani isu penggunaan pukat tunda selain memulihara hidupan laut dan ekosistem marin.

"Tukun tiruan itu bertujuan menghalang pukat tunda dari menceroboh kawasan pantai yang sepatutnya harus pulihara.

"Kita bercadang untuk melabuhkan tukun yang sama bagi melengkapkan kawasan ini sebagai tempat pembiakan ikan setiap tahun.

"Mengikut kajian yang kita buat, bukan sahaja di kawasan ini, malah di Tanjong Sepat, Kuala Langat dan Sepang, kami dapati stok ikan bertambah terutama ikan mahal seperti jenahak, kerapu dan merah hasil kewujudan tukun tiruan ini," katanya selepas merasmikan Program Melabuh Tukun Dasar Lembut Penghalang Pukat Tunda di Pantai Bagan Nakhoda Omar (BNO), di sini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Selangor, Azimah Jumatli.

Setiap tukun seberat 16.7 tan itu dilabuhkan pada jarak lima batu nautika dari pesisir Pantai BNO.

Izham berkata, menerusi inisiatif itu juga bakal menjamin kawasan perairan di daerah ini sebagai lokasi agro pelancongan untuk para pemancing selain meningkatkan ekosistem marin secara keseluruhannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2020 @ 7:44 PM