Ekhwan Haque Fazlul Haque


"KETIKA terima panggilan telefon dari jiran, saya seperti bermimpi apabila dimaklumkan tanah di belakang rumah runtuh kerana apa yang dibimbangi akhirnya berlaku," kata Sharifah Sawandin, 48.

Beliau bersama enam lagi keluarga yang terjejas selepas berlaku runtuhan tanah Taman Kelab Ukay 4, Bukit Antarabangsa, Sabtu lalu.

Menurutnya, setakat ini dia bersama suami dan dua anaknya masih lagi tinggal sementara waktu di sebuah hotel di Ampang.

Katanya, beliau berharap tawaran bayaran sewa RM3,000 yang dimaklumkan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin dapat direalisasikan segera.

"Sudah beberapa kali aduan dibuat kepada pihak berkuasa tempatan namun tiada tindakan lanjut dan berharap kejadian tidak berulang selepas pembaikan dilakukan.

"Kini kami masih menginap di hotel yang diberikan sehingga 6 Jun ini namun masih samar status rumah selepas tarikh itu.

"Keadaan rumah memang berbahaya namun jika boleh saya sekeluarga harap dapat menyewa di lokasi lain sementara kerja pembaikan siap sepenuhnya," katanya ketika ditemui, hari ini.

EXCO Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim meninjau kerja kerja cerucuk tanah yang dijalankan setelah kejadian tanah runtuh di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
EXCO Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim meninjau kerja kerja cerucuk tanah yang dijalankan setelah kejadian tanah runtuh di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Sabtu lalu, tujuh rumah teres dua tingkat di Jalan Kelab Ukay 4, Taman Kelab Ukay terjejas oleh kejadian tanah runtuh di bahagian belakang kediaman terbabit menyebabkan 32 orang daripada enam keluarga diarah meninggalkan rumah masing-masing.

Mereka kini ditempatkan di sebuah hotel di Ampang selama seminggu sebelum mencari kediaman lain.

Sementara itu, Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Izham Hashim berkata, kerja pembaikan struktur tanah akan mengambil masa enam bulan untuk disiapkan.

Katanya, peruntukan RM2 juta menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sudah diluluskan untuk memasak cerucuk besi pada struktur tanah yang terjejas.

"Jabatan Pengairan dan Saliran juga sudah memperuntukkan RM500,000 untuk menambahbaik aliran Sungai Sering yang terletak berhampiran kawasan terjejas agar aliran air tidak mengganggu struktur tanah.

"Kerajaan negeri akan berbincang menerusi Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) untuk memperhalusi bantuan yang boleh disalurkan sementara menanti kerja pembaikan selesai," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 7:18 PM