MAHDZIR mengundi pada pemilihan parti di Padang Kerasak. FOTO Noorazura Abdul Rahman
MAHDZIR mengundi pada pemilihan parti di Padang Kerasak. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Kuala Nerang: Calon pemilihan UMNO hari ini diharap akan terus setia dan berkhidmat untuk parti tanpa mengira keputusan sama ada menyebelahi mereka atau tidak.

Calon Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, calon yang kalah diharap tidak terus merajuk atau mengambil tindakan keluar parti.

"Sudah tentu dalam mana-mana pilihan raya di bawah proses demokrasi, ada yang menang dan yang kalah, tetapi bagi saya yang menang tidak ambil semua dan yang kalah tidak kalah semua.

"Kita ucapkan tahniah kepada yang menang dan bagi yang tidak menang kekal setia dalam parti tidak perlu rasa pahit, merajuk malah keluar parti dan sebagainya.

"Kita bersatu semula, fokus untuk membina semula parti dan InsyaAllah masa depan yang cerah untuk parti," katanya ketika ditemui selepas menyertai lebih 700 perwakilan di bahagian Padang Terap pada pemilihan parti di Padang Kerasak di sini, hari ini.

Mahdzir yang menang tanpa bertanding sebagai Ketua UMNO Bahagian Padang Terap berkata, beliau menyerahkan kepada 190,000 perwakilan UMNO di seluruh negara untuk menentukan calon mana yang perlu dipilih di peringkat bahagian dan pusat.

"Saya sudah berpuluh tahun bersama parti dan sebagai orang parti, saya akan kekal berkhidmat kepada parti tanpa mengira jawatan atau tidak. Kita perlu ada semangat tinggi untuk berkhidmat kepada parti," katanya.

Beliau berkata, semua calon yang bertanding perlu kembali bertaut selepas pemilihan ini untuk mengukuhkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

"Setiap bahagian terutama di Kedah perlu mengumpulkan kembali kekuatan dalam parti untuk dicantumkan di seluruh negeri sebelum PRN yang dijangka pada Jun atau Julai nanti.

"Jadi walaupun orang lama atau orang baru yang masuk, jadi gabungkan itu sebagai satu pasukan, ini kerana kita perlu positif dan dinamik mengmbalikan kekuatan parti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2023 @ 2:44 PM