GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kerajaan tidak memberikan subsidi terhadap pengimport telur ayam seperti yang dinikmati pengeluar telur ayam tempatan, menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS).

Dalam kenyataannya hari ini, MAFS berkata, sebarang perbelanjaan atau risiko untuk mengimport telur ayam ditanggung sepenuhnya oleh syarikat pengimport dan tiada dana awam yang digunakan.

Menurut kenyataan itu, kebenaran mengimport telur ayam boleh ditamatkan pada bila-bila masa apabila bekalan telur dalam negara sudah pulih dan stabil.

"Berdasarkan rekod Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), sejak Januari 2023 usaha Kerajaan Perpaduan untuk mengatasi kekurangan bekalan telur ayam dalam negara sudah mula menunjukkan perkembangan yang positif.

"Sejak Oktober hingga Disember 2022 menunjukkan unjuran kurangnya bekalan telur ayam iaitu -118,272,070 (Oktober), -157,543,291 (November) dan -1,282,094 (Disember), namun pada Januari 2023 unjuran menunjukkan +160,649,928 iaitu terdapat lebihan bekalan telur ayam," katanya dalam kenyataan.

MAFS berkata, pada 6 Disember lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan kebenaran bagi mengimport telur dari sumber luar sebagai langkah sementara untuk mencukupkan kekurangan bekalan telur dalam negara yang agak meruncing sejak Oktober 2022.

Menurutnya, kelulusan khas sementara sehingga 30 Jun 2023 diberikan kepada syarikat J&E Advance Tech Sdn Bhd dan syarikat pengeksport telur di India yang mempunyai kapasiti pembekalan serta juga membekalkan telur ke Qatar ketika Piala Dunia 2022.

"Bagi memastikan rakyat menerima telur ayam import yang selamat, bersih dan bebas daripada segala penyakit, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan DVS sudah melaksanakan kawalan kemasukan telur ayam import di pintu masuk Malaysia secara ujian Hold, Test and Release (HTR), yang merangkumi ujian PCR untuk pengesanan bakteria Salmonella, virus Newcastle Disease dan Avian Influenza.

"Hanya telur ayam yang lepas ujian HTR sahaja yang dibenarkan masuk ke negara ini. Setakat ini tiada telur ayam yang diimport yang gagal ujian itu," katanya.

MAFS turut menetapkan protokol import bagi memastikan setiap haiwan dan produk haiwan dibawa masuk ke negara ini mestilah bebas daripada penyakit yang boleh memudaratkan tumbuhan, haiwan dan juga rakyat Malaysia.

Justeru, katanya, mana-mana syarikat yang ingin mengimport haiwan dan produk haiwan perlu merujuk kepada DVS untuk memastikan negara sumber tersenarai dalam negara yang diluluskan.

"Bagi negara yang belum diluluskan, Analisa Risiko Import perlu dijalankan terlebih dahulu. Selepas melepasi analisa itu dan diluluskan di peringkat kementerian, barulah produk berkenaan dibenarkan diimport.

"Mana-mana syarikat yang ingin mengimport boleh membuat permohonan melalui website Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) di: https://www.maqis.gov.my/index.php/permohonan-permit/," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 4:13 PM