Resit RM5 yang tular di media sosial mengatakan pengunjung dikenakan bayaran jika mahu bentang tikar di tepi pantai Teluk Kemang. FOTO Tular
Resit RM5 yang tular di media sosial mengatakan pengunjung dikenakan bayaran jika mahu bentang tikar di tepi pantai Teluk Kemang. FOTO Tular
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Resit caj bentang tikar di Pantai Teluk Kemang di sini, seperti yang tular di media sosial adalah palsu.

Sebaliknya, resit bayaran RM5 itu adalah untuk plastik sampah bukannya seperti yang didakwa dipercayai oleh pengunjung pantai berkenaan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) Mohd Zamri Mohd Esa menjelaskan bahawa pihaknya sememangnya ada melantik operator di Wellness Zone, Pantai 1, Teluk Kemang untuk memantau kawasan itu setiap hari terutama hujung minggu.

"Saya difahamkan resit yang ditunjukkan itu adalah palsu dan berharap agar pengunjung faham kenapa bayaran itu dikenakan dan bukan kerana bentang tikar.

"Penguatkuasaan MPPD akan terus memantau seluruh kawasan pantai terutamanya hujung minggu atau cuti umum bagi kemudahan pengunjung yang datang beriadah di sini," katanya ktika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pihaknya kesal kerana resit yang ditularkan itu adalah palsu.

Beberapa hari lalu, tular seorang pengunjung pantai itu dipercayai di sini, menunjukkan satu resit bayaran RM5 yang dikenakan terhadapnya kerana membentang tikar di Pantai Teluk Kemang.

Gambar resit itu tular dalam pelbagai media sosial sekali gus yang menimbulkan keresahan orang ramai selepas heboh diperkatakan isu 'khemah biru' sebelum ini.

Menurut Mohd Zamri, bahawa bayaran RM5 itu dikenakan oleh pihak operator di Wellness Zone Teluk Kemang.

"Pihak Wellness Zone ada menyediakan plastik sampah dan bukan untuk pengenaan sewa wakaf seperti yang ditularkan.

"Bilangan pengunjung yang terlalu ramai dan kerana kekurangan tong sampah menyebabkan pengunjung membuang sampah merata-rata," katanya.

Menurutnya, inisiatif yang diperkenalkan itu adalah sebagai pilihan kerana sampah yang ditinggalkan oleh pengunjung adalah terlalu banyak.

"Ia antara cara bagi mengatasi masalah sampah yang ditinggalkan pengunjung dan akan menjadi lebih buruk jika terdapat anjing liar yang mengotori kawasan itu.

"Kutipan itu juga digunakan untuk menambah baik kemudahan fasiliti, infrastruktur dan landskap di kawasan berkenaan bagi menjaga kebersihan di kawasan tumpuan orang ramai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 1:15 PM