Hafizuddin ketika di bawa keluar selepas pertuduhan dibacakan di Mahkamah Majisterat Port Dickson tadi. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Hafizuddin ketika di bawa keluar selepas pertuduhan dibacakan di Mahkamah Majisterat Port Dickson tadi. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


SEORANG lelaki mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan melakukan aktiviti pengedaran dadah di Teluk Kemang bernilai RM7.2 juta ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Port Dickson, hari ini.

Tertuduh, Mohammad Hafizuddin Mohammad, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majisteret, Siti Huzaifah Abdul Talib.

Majistret kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 28 Julai depan dan suspek tidak dibenarkan ikat jamin.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa raya, Hafizah Zainul Hashimi.

Sebelum ini media melaporkan polis dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan rampasan bernilai RM7.2 juta hasil penahanan tujuh ahli sindiket berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Ramli Din berkata, susulan tangkapan semua suspek dalam empat serbuan di Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor pada 9 Mei hingga 14 Mei lalu pihaknya menemui 112.7 kilogram dadah di kawasan semak di tepi pantai Teluk Kemang.

Katanya, kesemua suspek adalah lelaki berusia antara 24 hingga 44 tahun dan tiga daripadanya adalah warga Indonesia.

Tambahnya, hasil siasatan mendapati dadah berkenaan dipercayai untuk di seludup ke negara jiran kerana harga jualan tiga kali ganda lebih tinggi berbanding Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 6:29 PM