MANGSA dikejar ke hospital selepas terkena renjatan elektrik di SK Pogoh. FORO Ahmad Ismail.
MANGSA dikejar ke hospital selepas terkena renjatan elektrik di SK Pogoh. FORO Ahmad Ismail.
Ahmad Ismail


Segamat: Pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Antarabangsa Kuala Lumpur maut selepas terkena renjatan elektrik di Sekolah Kebangsaan (SK) Pogoh, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 9.50 pagi itu, mangsa Saiful Asraf Mukhtar, 21, dikatakan berada di luar bilik makmal komputer untuk membantu kerja pembersihan kerusi meja akibat banjir.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, mangsa datang ke sekolah berkenaan bersama sekumpulan pelatih IPG bagi membantu kerja pembersihan pasca banjir.

"Sebelum kejadian, mangsa sedang menggunakan alat penyembur air atau 'water jet' untuk membersihkan kerusi meja murid.

"Tiba-tiba berlaku renjatan dan mangsa rebah," katanya di sini, hari ini.

Ahmad Zamry berkata, beberapa rakannya berhampiran sempat memberikan bantuan pernafasan (CPR).

"Mangsa yang turut cedera di bahagian kepala dikejarkan ke Hospital Daerah Segamat (HDS) menaiki ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia.

"Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR)," katanya.

Difahamkan, ini kali kedua pelatih guru berasal dari Sabah itu, datang membantu misi pasca banjir di Segamat ketika musim banjir tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 6:39 PM