KENDERAAN yang terbabit kemalangan hingga mengorbankan tiga beradik. FOTO ihsan bomba
KENDERAAN yang terbabit kemalangan hingga mengorbankan tiga beradik. FOTO ihsan bomba
Juwan Riduan


Lahad Datu: Tindakan pemandu pacuan empat roda memotong kenderaan secara berbahaya dipercayai punca kemalangan maut di Kilometer 30, Jalan Lahad Datu-Tungku, semalam.

Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, tiga beradik termasuk kanak-kanak berusia empat tahun yang membonceng motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian selepas bertembung Mitsubishi Triton.

Mangsa dikenali sebagai Ellaine Sappari, 4, kakak dan abangnya Isang, 39, serta Amil, 46.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Abdul Razak berkata, siasatan awal mendapati semua mangsa yang menaiki motosikal bergerak dari arah Tungku ke Lahad Datu.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu pacuan empat roda berusia 52 tahun dari arah bertentangan tiba-tiba bertindak memotong sebuah lagi kenderaan sebelum merempuh motosikal mangsa.

"Kemalangan mengakibatkan tiga mangsa tercampak ke lorong kiri sebelum dirempuh sebuah lagi kenderaan, Isuzu DMax.

"Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Azmir berkata, siasatan awal mendapati semua pemandu kenderaan dan penunggang motosikal tidak berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol.

"Bagaimanapun, sampel darah sudah diambil untuk dianalisa oleh Jabatan Kimia bagi membantu siasatan lanjut," katanya.

Azmir berkata, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Mana-mana pihak atau saksi kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Humaifi Harun di talian 089-881255 sambungan 414 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 4:53 PM