MAYAT mangsa dibawa keluar dari gaung. FOTO Juwan Riduan
MAYAT mangsa dibawa keluar dari gaung. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


PESARA maut apabila dilanggar kenderaan miliknya sendiri ketika cuba membuat pemeriksaan di bahagian hadapan di Jalan Kampung Gorowot, Kuala Penyu, di Beaufort, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, mangsa berusia 66 tahun yang disyaki mabuk memandu pacuan empat roda jenis untuk pulang ke rumahnya di Kampung Kayul.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi, kenderaan mangsa dikatakan tersasar ke bahu jalan di sebelah kanan yang bercerun.

Ia menyebabkan mangsa turun ke bahagian hadapan kenderaan untuk membuat pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak bagaimanapun berkata,

kenderaan mangsa dipercayai meluncur ke arah depan dan terus melanggar mangsa sehingga dia terjunam ke dalam gaung.

Katanya, akibat daripada insiden itu, mangsa parah di bahagian dalaman badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Penyu.

"Siasatan awal mendapati, kenderaan mangsa mengalami kerosakan di bahagian depan dan punca kemalangan dipercayai disebabkan oleh kecuaian.

"Tiada unsur khianat atau jenayah yang dikesan dalam kemalangan ini, namun begitu siasatan lanjut masih diteruskan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Azmir berkata, mangsa disyaki mabuk.

Katanya, sampel darah sudah diambil untuk ujian dadah dan alkohol bagi membantu siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 8:41 AM