BEH menunjukkan gambar suspek yang masih bebas dan dalam buruan. FOTO Owee Ah Chun.
BEH menunjukkan gambar suspek yang masih bebas dan dalam buruan. FOTO Owee Ah Chun.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kegiatan Geng Adam yang aktif memecah masuk klinik serta farmasi di sekitar Lembah Klang dan Pahang terbongkar dengan penahanan lima individu termasuk wanita, 1 Mac lalu.

Semua suspek berusia 22 hingga 32 tahun itu kini direman sehingga 10 Mac untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, sebelum penahanan itu, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 38 tahun yang juga kerani sebuah klinik di Jalan Sentul, mendakwa premis itu dipecah masuk pada 23 Februari.

"Dalam kejadian itu, sejumlah wang tunai serta pelbagai jenis ubat-ubatan dilaporkan hilang dengan kerugian dianggarkan kira-kira RM2,000.

"Susulan itu, kami menjalankan beberapa serbuan di Sentul dan Sri Damansara pada 1 Mac lalu yang membawa kepada penahanan empat lelaki serta seorang wanita.

BEH (dua dari kiri) bersama anggotanya menunjukkan barang kemas yang dirampas daripada Geng Adam. FOTO Owee Ah Chun.
BEH (dua dari kiri) bersama anggotanya menunjukkan barang kemas yang dirampas daripada Geng Adam. FOTO Owee Ah Chun.

"Kami turut merampas dua perengkuh paip, dua kereta, enam telefon bimbit, beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk memecah masuk premis, peti besi, ubat-ubatan, wang tunai RM4,000 serta barangan kemas.

"Salah seorang lelaki yang ditahan adalah dalang kegiatan pecah masuk itu yang dikenali sebagai Adam berusia 31 tahun," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Beh berkata, modus operandi kumpulan itu adalah menyasarkan klinik serta farmasi untuk dipecah masuk pada waktu antara 3 hingga 4.30 pagi.

"Kumpulan ini yang aktif sejak hujung tahun lalu akan memecah masuk pintu hadapan premis dan menyelongkar laci serta peti besi yang dipecahkan menggunakan perengkuh paip range.

"Mereka fokus untuk mendapatkan wang tunai dan barangan berharga di premis yang dipecah masuk dengan hasil jenayah itu kemudian digunakan bagi membeli barangan lain termasuk barang kemas.

"Cuma dalam kes terakhir yang dilaporkan, mereka juga mengambil ubat-ubatan yang kebanyakannya untuk mengatasi masalah 'anxiety' (kebimbangan) serta 'depression' (tekanan perasaan) bagi digunakan oleh salah seorang suspek yang mengalami masalah itu," katanya.

Menurutnya lagi, semakan dilakukan mendapati tiga daripada empat suspek lelaki mempunyai rekod jenayah berkaitan kes pecah rumah dan curi kenderaan selain kes dadah.

"Hasil ujian awal saringan air kencing dilakukan mendapati empat suspek lelaki berkenaan positif dadah jenis methaphetamin.

"Dengan penahanan lima suspek berkenaan, kami percaya berjaya menyelesaikan 11 kes samun di Kuala Lumpur, 11 kes di Selangor dan dua di Pahang membabitkan kerugian kira-kira RM50,000," katanya.

Menurutnya, pihak polis sedang mengesan seorang lagi suspek iaitu Muhammad Amir Abdullah, 25, atau dikenali Kecik yang dipercayai menyimpan beberapa barangan hasil samun termasuk komputer riba yang dilaporkan hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 12:23 PM