Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Tiga lelaki termasuk pesara tentera yang juga Geng Sasi Navy dikesan aktif mencuri kenderaan di sekitar Lembah Klang, Perak dan Negeri Sembilan sejak hujung tahun.

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar selepas dalang sindiket itu dikenali sebagai Sasi Navy berusia 40 tahun ditahan di Kampung Gajah, Perak, manakala dua lagi rakannya ditahan di Ipoh dan Nilai, Negeri Sembilan pada 13 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, susulan tangkapan itu, pihaknya merampas dua kenderaan dan peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri serta beberapa nombor plat pendaftaran kenderaan palsu.

"Hasil siasatan mendapati sindiket itu menyasarkan kenderaan jenis Honda Civic dan Mitsubishi Pajero.

"Selepas sesebuah kenderaan itu dikenal pasti, salah seorang suspek akan menggunakan peralatan khas (jammer) untuk membuka kunci kenderaan itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Katanya, semua suspek yang ditahan mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah dan direman bermula 14 hingga 18 Mei lalu bagi membantu siasatan.

"Semua suspek kemudian diserah kepada IPD Ipoh bagi membantu siasatan beberapa kes dipercayai dikaitkan dengan geng terbabit di daerah itu.

"Susulan penahanan itu, polis berjaya menyelesaikan sebanyak tujuh kes kecurian yang dilaporkan sebelum ini," katanya.

AHMAD Sukarno Mohd (tengah), menunjukkan antara barang yang berjaya dirampas dari penjenayah ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
AHMAD Sukarno Mohd (tengah), menunjukkan antara barang yang berjaya dirampas dari penjenayah ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 5:45 PM