BEBERAPA kenderaan cuba untuk meredah banjir ketika tinjauan di Jalan Utama Yong Peng ke Muar hari ini. FOTO Bernama
BEBERAPA kenderaan cuba untuk meredah banjir ketika tinjauan di Jalan Utama Yong Peng ke Muar hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Situasi banjir di Johor, Melaka dan Pahang semakin pulih dan akan memasuki fasa pascabanjir dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Khairul Shahril Idrus berkata sehubungan itu pihaknya mengalu-alukan kerjasama daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan negeri yang tidak terbabit dengan banjir bagi memastikan kerja pascabanjir berjalan lancar.

"NADMA dan kerajaan negeri kini mula memberi perhatian kepada program pascabanjir yang membabitkan kerja pembersihan rumah mangsa banjir selain membaik pulih infrastruktur yang rosak serta pengurusan sisa pepejal.

"Buat masa ini beberapa negeri yang tidak dilanda banjir telah menyatakan kesediaan mereka untuk menghantar jentera dan kakitangan untuk membantu kerja-kerja pasca banjir di negeri terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di majlis penyerahan sumbangan sebuah kenderaan pacuan empat roda oleh MARDI Corporation Sdn Bhd (MARDICorp) kepada NADMA dekat sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MARDICorp Zaidi Shahrim.

Khairul Shahril berkata walaupun situasi banjir dilaporkan semakin baik, peningkatan jumlah mangsa yang ditempatkan pusat pemindahan sementara (PPS) adalah disebabkan aliran air dari hulu (utara) ke hilir (selatan).

Beliau berkata disebabkan aliran air berkenaan berlaku peningkatan jumlah mangsa di PPS walaupun keseluruhannya cuaca adalah baik.

Setakat pagi tadi, seramai 43,007 mangsa banjir di Johor, Melaka dan Pahang masih ditempatkan di PPS dengan Batu Pahat menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 27,774 mangsa.

Sementara itu, mengulas mengenai sumbangan kenderaan berkenaan Zaidi berkata ia bagi meningkatkan kesiapsiagaan NADMA bagi menghadapi sebarang bencana pada masa akan datang.

"Penggunaan aset ini diharapkan dapat membantu dalam misi-misi bantuan banjir dan menyalurkan bantuan makanan ke kawasan pedalaman yang tidak dapat diakses oleh kenderaan berat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 1:40 PM