ANTARA barang yang dirampas dalam serbuan tangkapan tiga lelaki dipercayai terbabit samun berkumpulan di sekitar Damansara dan Petaling Jaya pada 5 Mac lalu. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA barang yang dirampas dalam serbuan tangkapan tiga lelaki dipercayai terbabit samun berkumpulan di sekitar Damansara dan Petaling Jaya pada 5 Mac lalu. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Polis menahan tiga lelaki yang dipercayai melakukan samun berkumpulan menerusi serbuan berasingan di sekitar Damansara dan Petaling Jaya, Selangor, pada 5 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 26 hingga 35 tahun ditahan di Damansara dan Petaling Jaya antara jam 12.30 tengah malam hingga jam 5.15 petang.

Katanya, pihaknya menerima satu laporan berkaitan kejadian samun berkumpulan di sebuah rumah di Taman Pelangi, di sini, pada 25 Februari lalu.

"Ketika kejadian, mangsa bekerja sebagai guru berusia 45 tahun berada di dalam bilik sebelum ditumbuk di muka, dipukul di bahagian leher dan diikat menggunakan wayar.

"Difahamkan sebuah telefon bimbit, seutas jam tangan, kad bank dan wang tunai dianggarkan berjumlah RM6,000 berjaya dilarikan suspek," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Eng Lai berkata, susulan tangkapan itu, pihaknya berjaya merampas seutas jam tangan milik mangsa dan dua telefon bimbit pelbagai jenama.

Katanya, pihaknya turut merampas kunci, sebuah motosikal dan beberapa pakaian yang dipercayai digunakan suspek ketika kejadian.

"Hasil siasatan mendapati modus operandi kumpulan itu adalah melakukan samun secara berkumpulan dengan menyasarkan rumah yang berpenghuni.

"Semakan dilakukan mendapati semua suspek yang ditahan mempunyai pelbagai rekod jenayah dan direman selama empat hari bermula Ahad lalu hingga hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

"Dengan penahanan tiga suspek berkenaan, kita percaya berjaya menyelesaikan empat kes samun di ibu kota ini dan satu lagi kes di Selangor yang didalangi kumpulan terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 1:34 PM