ENG Lai (kiri) menunjukkan peralatan digunakan penjenayah. FOTO Saifullizan Tamadi
ENG Lai (kiri) menunjukkan peralatan digunakan penjenayah. FOTO Saifullizan Tamadi
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis menumpaskan sindiket pecah rumah yang aktif menjalankan kegiatan itu sejak 2020 di Lembah Klang dengan menahan tiga lelaki tempatan dalam tiga serbuan berasingan pada 16 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian samun berkumpulan di sebuah rumah di Taman Mastiara, di sini, jam 7.25 malam pada 14 Mei lalu.

"Ketika kejadian, seorang wanita warga emas berusia 82 tahun berada di dalam rumah berkenaan namun dia tidak diapa-apakan oleh suspek.

"Dalam kejadian itu, komputer riba, tablet, empat jam tangan, beberapa keping kad bank, barang kemas dan wang tunai berjumlah RM6,200 dilarikan oleh suspek membabitkan kerugian kira-kira RM20,000," katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Eng Lai berkata, bertindak atas maklumat, polis pihaknya melancarkan serbuan di Selayang, Kajang dan Seri Kembangan, yang membawa kepada penahanan tiga lelaki tempatan berusia antara 37 hingga 43 tahun, Isnin lalu.

"Dalam tangkapan itu, kami merampas empat telefon bimbit, beberapa barang kemas, dua jam tangan, tiga beg berjenama, tiga komputer riba, tiga tablet serta pakaian digunakan suspek ketika kejadian.

"Selain itu, kami turut merampas sebuah kereta, enam playar pemotong dan satu playar boleh laras disyaki digunakan untuk melakukan samun," katanya.

Beliau berkata, modus operandi sindiket itu adalah melakukan samun secara berkumpulan dengan memanjat pagar rumah mangsa yang terletak di kawasan terpencil sebelum memotong pagar jeriji.

"Semakan dilakukan mendapati semua suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah termasuk seorang daripada mereka mempunyai 32 rekod jenayah.

"Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati semua suspek juga positif dadah," katanya.

Menurutnya, penahanan ketiga-tiga suspek terbabit berjaya menyelesaikan satu kes samun di ibu kota ini dan dua kes samun di Selangor.

"Kami percaya sindiket ini juga terbabit dengan kes pecah rumah yang lain di sekitar Lembah Klang.

"Semua suspek terbabit direman selama tujuh hari bermula 17 hingga 23 Mei ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 12:03 PM