AHMAD Maslan ketika menjawab pertanyaan ketika sesi soal jawab lisan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
AHMAD Maslan ketika menjawab pertanyaan ketika sesi soal jawab lisan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 50.3 peratus atau 6.4 juta daripada jumlah akaun pinjaman sektor isi rumah terdiri daripada pinjaman berkadar tetap, tidak terjejas dengan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR).

Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan berkata peminjam berpendapatan rendah dengan pendapatan kurang dari RM5,000 sebulan termasuk golongan B40 adalah dianggarkan sebanyak 54.8 peratus atau 3.5 juta akaun terdiri daripada pinjaman berasaskan kadar tetap.

"Kerajaan memahami keresahan rakyat untuk melunaskan ansuran bulanan yang semakin meningkat berikutan kenaikan OPR dan kesan terhadap peminjam terutamanya golongan B40.

"Namun demikian, bukan semua peminjam terkesan dengan peningkatan OPR kerana peningkatan kepada ansuran bulanan hanya melibatkan peminjam yang mempunyai pinjaman jenis berkadar terapung," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) mengenai kajian yang dilaksanakan oleh kerajaan berhubung kesan kenaikan OPR terhadap golongan B40.

Selain itu, Ahmad turut menegaskan bahawa lengkah menaikkan OPR oleh oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) adalah wajar bagi memastikan inflasi terkawal dan ekonomi terus mapan.

"Kenaikan OPR sebanyak 100 mata asas (daripada 1.75 peratus kepada 2.75 peratus) mencerminkan pengembalian tahap akomodasi dasar monetari ke tahap yang wajar berikutan pengurangan sebanyak 125 mata asas ketika pandemik.

"Oleh itu, bagi pinjaman berkadar terapung yang diambil sebelum pandemik, jumlah ansuran bulanan pada masa ini masih lebih rendah berbanding jumlah ansuran sebelum pandemik iaitu tiga peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 1:16 PM