Fairul Asmaini Mohd Pilus

Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas menjadikan kadarnya ketika ini adalah 2.50 peratus.

Kenaikan itu adalah kali ketiga untuk tahun 2022 dan sebelum ini, OPR dikekalkan pada paras terendah dalam sejarah iaitu pada 1.75 peratus selama hampir dua tahun (Julai 2020 hingga Mei lalu).

Ia dikurangkan daripada 3.0 peratus pada tahun 2020 akibat pandemik Covid-19 yang melanda.

Namun, tahukah anda apakah kesan peningkatan OPR terhadap pinjaman perumahan di negara ini?

Untuk makluman, OPR mempengaruhi Kadar Asas Standard (SBR), Kadar Asas (BR) dan Kadar Pinjaman Asas (BLR) sesebuah bank, di mana SBR, BR dan BLR biasanya berkurangan atau meningkat mengikut turun naik OPR.

Dengan peningkatan OPR, semua bank di Malaysia akan menyemak (menaikkan) kadar faedah masing-masing, sekali gus menjadikan produk pinjaman perumahan lebih mahal.

Secara ringkasnya, OPR yang lebih tinggi akan menyebabkan pembayaran ansuran bulanan yang lebih tinggi.

Ini kerana, setiap kali OPR meningkat, bank akan memberikan kos pinjaman yang lebih tinggi dalam bentuk kadar faedah yang lebih tinggi kepada pengguna, seterusnya meningkatkan jumlah bayaran ansuran bulanan.

Contohnya, peningkatan sebanyak 0.25 peratus dalam OPR untuk pinjaman perumahan berharga RM500,000 dengan tempoh 30 tahun berkemungkinan akan meningkatkan bayaran ansuran bulanan sebanyak RM71.

Ini bermakna peminjam perlu membayar tambahan RM25,560 untuk pembayaran faedah dalam tempoh 30 tahun itu.

Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid sebelum ini berkata, kenaikan OPR dilihat bukan saja memberi kesan kepada peminjam bank di Malaysia, malah menyukarkan golongan B40 untuk membuat pinjaman baharu.

BANK Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas menjadikan kadarnya ketika ini adalah 2.50 peratus.
BANK Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas menjadikan kadarnya ketika ini adalah 2.50 peratus.

Katanya, ia merangkumi kedua-dua pinjaman Islamik dan konvensional di mana kadar pinjaman perumahan juga diapungkan.

"Untuk pinjaman pada kadar tetap seperti kereta, motosikal, peribadi dan kad kredit yang sudah sedia ada, tidak memberi kesan terhadap bayaran bulanan, tetapi untuk pinjaman baharu kadar pinjaman tetap yang lebih tinggi akan dikenakan kepada peminjam.

"Bagi golongan B40 pula, mereka tidak mempunyai pinjaman yang banyak pada kadar apungan kerana bank mengenakan kadar faedah tetap yang mungkin lebih tinggi daripada golongan lain kerana risikonya juga tinggi.

"Namun begitu, golongan B40 mungkin menghadapi kesulitan lebih untuk membuat pinjaman baharu sama ada membeli rumah, kereta, pinjaman peribadi dan sebagainya kerana bayaran bulanan akan dikirakan pada kadar terbaru iaitu lebih tinggi mengikut kenaikan OPR," katanya.

Dalam pada itu, berdasarkan kenaikan harga barang keperluan sekarang, golongan B40 dilihat lebih sukar dan mencabar untuk membuat pinjaman baharu sama ada mereka merancang membeli rumah atau motokar.

Justeru, hasrat membeli rumah mungkin perlu dipendamkan terlebih dahulu sehingga pendapatan mereka naik ke aras lebih selesa.

Kenaikan OPR itu dilihat turut membebankan golongan M40 kerana kebanyakannya mengambil pinjaman perumahan yang memakai kadar faedah diapungkan.

Disebabkan harga rumah yang mahal dan terus naik dengan lebih cepat berbanding kenaikan gaji, maka golongan M40 lebih terkesan dengan kenaikan OPR.

KENAIKAN OPR dilihat bukan saja memberi kesan kepada peminjam bank di Malaysia, malah menyukarkan golongan B40 untuk membuat pinjaman baharu sama ada mereka merancang membeli rumah atau motokar.
KENAIKAN OPR dilihat bukan saja memberi kesan kepada peminjam bank di Malaysia, malah menyukarkan golongan B40 untuk membuat pinjaman baharu sama ada mereka merancang membeli rumah atau motokar.

Bagi Sheikh Sazli Sheikh Mustafa, 42, berkata, kenaikan OPR itu memang dijangka kerana kadar OPR pada masa kini masih rendah berbanding kadar sebelum pandemik iaitu 3.25 peratus.

Bagaimanapun, kata eksekutif syarikat swasta itu, kenaikan sebanyak tiga kali pada tahun ini akan menyebabkan peminjam perumahan terutamanya golongan B40 sepertinya mengalami peningkatan bayaran bulanan.

"Sebagai contoh, pinjaman perumahan saya adalah sebanyak RM300,000 dan apabila kadar OPR meningkat, kadar bayaran bulanan kepada bank juga meningkat hampir RM200.

"Jika orang ramai hanya meminjam pinjaman jangka pendek seperti kereta, mereka tidak akan terjejas.

"Namun, jika ada pinjaman jangka panjang dan pinjaman peribadi, mereka akan lebih terasa bebanan tambahan bayaran bulanan," katanya.

RAMAI yang terpaksa memendamkan hasrat membeli rumah ketika ini sehingga pendapatan mereka naik ke aras lebih selesa.
RAMAI yang terpaksa memendamkan hasrat membeli rumah ketika ini sehingga pendapatan mereka naik ke aras lebih selesa.

Sementara itu, Nurul Akma Abdullah, 29, berkata, dia perlu menangguhkan hasrat untuk membeli rumah pertamanya pada tahun ini memandangkan keadaan ekonomi yang masih tidak mengizinkan selain kadar OPR yang meningkat.

Kata Nurul Akma, kadar OPR yang meningkat sedikit sebanyak menyebabkan kemampuan pinjamannya juga akan menurun.

"Kalau pinjaman lebih murah (OPR rendah akan menyebabkan kadar faedah pinjaman boleh ubah jadi rendah), lebih cerah peluang untuk saya memiliki rumah idaman.

"Namun kadar OPR boleh berubah dan terbukti berubah berkali-kali dalam tempoh beberapa tahun lepas atas pelbagai faktor ekonomi.

"Apapun, golongan B40 macam saya mungkin menghadapi kesulitan lebih untuk membuat pinjaman baharu sama ada membeli rumah, kereta, pinjaman peribadi dan sebagainya kerana bayaran bulanan akan dikirakan pada kadar terbaru iaitu lebih tinggi mengikut kenaikan OPR," katanya.

OPR yang lebih tinggi akan menyebabkan pembayaran ansuran bulanan yang lebih tinggi.
OPR yang lebih tinggi akan menyebabkan pembayaran ansuran bulanan yang lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2022 @ 6:02 AM