Siti Aminah Mohd Yusof


Bukit Mertajam: Polis menahan sepasang kekasih disyaki terbabit dalam empat kes ragut yang dilaporkan berlaku di Seberang Perai Tengah (SPT) dan Kulim, Kedah sejak awal Januari lalu.

Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, jenayah terbaharu pasangan berusia 37 dan 23 tahun itu dipercayai pada 7 malam, 10 Februari lalu apabila meragut warga emas berumur 75 tahun.

Katanya, suspek lelaki yang menunggang motosikal Honda EX5 berpura-pura bertanya arah jalan di Bukit Tengah, di sini sebelum meragut rantai emas mangsa.

Menurutnya, suspek memakai baju T oren juga sempat menukar pakaiannya sejurus melakukan jenayah itu.

"Selepas kejadian, suspek dipercayai 'makan angin' di Kuala Lumpur dan pihak polis berjaya memberkasnya sebaik sahaja dia turun daripada bas di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Penang Sentral, Butterworth pada 6 pagi, Isnin lalu.

"Siasatan lanjut mendapati suspek turut dibantu kekasihnya yang bekerja sebagai tukang urut untuk menjual barang kemas yang dicuri dengan upah RM200. Wanita itu ditahan di tempat kerjanya di Juru pada 3.30 petang semalam," katanya dalam sidang media, hari ini.

Tan berkata, suspek utama yang bekerja sebagai operator pengeluaran didapati memiliki tujuh rekod jenayah dan narkotik selain positif dadah, manakala teman wanitanya mempunyai empat rekod jenayah lampau.

Katanya, pasangan itu direman sehingga 6 Mac dan 7 Mac ini untuk siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan tiga pemilik kedai pajak gadai berusia 60-an hingga 70-an ditahan untuk siasatan dan pihaknya menemukan semula tiga utas rantai emas beserta loket yang dilaporkan hilang, dianggar bernilai kira-kira RM6,000.

"Polis menggesa pengusaha kedai emas dan pajak gadai tidak terlibat dengan urusan jual beli barangan curi dan jika tertangkap mereka boleh dikenakan tindakan atas kesalahan memiliki barang curi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2023 @ 5:59 PM
TAN (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan barang kemas yang ditemukan semula bersama barang rampasan lain. FOTO Danial Saad.
TAN (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan barang kemas yang ditemukan semula bersama barang rampasan lain. FOTO Danial Saad.