Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Kerajaan akan melancarkan program dua serampang yang bukan hanya menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan B40 dan miskin, malah menambah bekalan bahan mentah, Ahad ini.

Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli berkata, program di bawah inisiatif menjamin pendapatan rakyat itu antara strategi kerajaan dalam menangani inflasi serta mengurangkan kebergantungan bekalan bahan mentah import terutama makanan ayam seperti gandum dan jagung.

"Kerajaan akan membuka peluang dengan sokongan modal, tanah dan latihan supaya usahawan tani daripada golongan miskin tegar dan B40 membabitkan diri dalam perusahaan pertanian untuk meningkatkan (pengeluaran) bekalan asas.

"Sebagai permulaan, program ini akan membabitkan tanah Kerajaan Persekutuan seluas 800 ekar (324 hektar).

"Kaedah ini serampang dua mata untuk menangani inflasi pada masa sama kita membuka peluang jana pendapatan keluarga miskin tegar dan B40 seluruh negara termasuk bakal pesara kerajaan yang tangga gaji (rendah) kerana ada pesara apabila bersara akan masuk ke B40 dan miskin tegar," katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Mohd Rafizi turut menggalakkan kerajaan negeri termasuk pembangkang turut menyertai usaha itu dengan menambah tanah yang berpotensi diusahakan bagi mengurangkan kebergantungan subsidi daripada kerajaan dalam menurunkan harga makanan.

Selain itu, katanya, usaha itu perlu diiringi dengan komitmen peniaga untuk menurunkan harga makanan bagi mengurangkan beban rakyat.

"Jika kenaikan harga bahan mentah telah reda atau menurun, harga makanan siap di restoran dan kedai makan juga perlu menurun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2023 @ 8:59 PM