Ahmad Hasbi


Seremban: Dari satu tarikh ke satu tarikh, kunci rumah idaman yang dibeli tidak juga diserahkan meskipun bayaran bulanan sudah dibuat.

Itu kegelisahan kira-kira 200 pembeli unit rumah projek apartmen Seremban Sentral PR1MA di Jalan Rasah, di sini, yang semakin tertekan apabila tiada pihak tampil menerangkan perkara sebenar yang berlaku dan mereka ditolak ke sana sini setiap kali mahu mendapatkan penjelasan.

Difahamkan, projek itu sepatutnya sudah boleh diduduki pada 2020, namun pembeli mendakwa kediaman itu tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa.

Penjawat awam, Hafis Haririe Paisal, 32, berkata, menerusi laman web PR1MA, pihak pemaju akan akan menyerahkan kunci pada suku pertama tahun ini dan dia memasang hasrat menyambut Aidilfitri di rumah baru.

"Bagaimanapun, baru-baru ini saya mendapati tarikh serahan kunci sudah berubah ke suku kedua 2023. Apabila kami tanya PR1MA, mereka meminta supaya mendapatkan penjelasan daripada pemaju.

"Saya membeli rumah ini pada 2020 dan mula membuat bayaran bulanan sebanyak RM1,320 sebulan bermula Januari lalu," katanya ketika ditemui di hadapan projek perumahan berkenaan, hari ini.

Difahamkan, projek di bawah Kerajaan Persekutuan itu mula dibina pada 2015 dan mula dijual pada 2018 serta jangkaan siap pada 2020.

Pemilik rumah, Mohd Hafiz Mohd Ali, 39, berkata, dia tertekan kerana perlu membayar sewa rumah sebanyak RM750 sebulan dan dalam masa sama perlu melunaskan bayaran rumah PR1MA itu sebanyak RM1,375.

"Sudah setahun saya membayar rumah ini, tetapi sehingga sekarang tidak boleh diduduki menyebabkan saya terpaksa tinggal di rumah sewa. Perbelanjaan bulanan bertambah sekali ganda.

"Saya kini terpaksa membuat kerja sampingan bagi menampung bayaran kedua-dua rumah ini. Ini tidak adil bagi kami kerana kecuaian pemaju yang gagal mematuhi syarat pihak berkuasa menyebabkan pembeli menanggung akibatnya," katanya.

Siti Norhaidah Harun, 31, berkata, sebenarnya terdapat lebih 200 pembeli yang terkesan daripada kejadian ini dan sebahagian daripadanya berada di luar Negeri Sembilan.

"Kami memutuskan untuk membeli rumah ini kerana ia adalah projek Kerajaan Persekutuan dan beranggapan lebih selamat untuk dibeli, namun sangkaan kami meleset.

"Apa yang menyebabkan kami kecewa adalah tarikh serahan kunci sering berubah-ubah sedangkan ada pembeli sudah membuat pelbagai perancangan seperti membeli perabot dan mahu menyambut Aidilfitri di rumah baru.

"Jika pemaju memerlukan masa yang secukupnya, mereka perlu telus. Jika ambil setahun, maka maklumkan setahun, jangan berjanji tarikh yang tidak mustahil, kerana itu lebih memeritkan.

"Saya mohon kementerian, exco, menteri besar dan semua pihak supaya campur tangan supaya masalah ini dijelaskan secara telus dan diselesaikan segera," katanya.

SEBAHAGIAN pembeli projek Perumahan PR1MA Seremban Sentral menyatakan rasa tidak puas hati berkenaan isu penyerahan kunci rumah yang tertangguh. FOTO Azrul Edham
SEBAHAGIAN pembeli projek Perumahan PR1MA Seremban Sentral menyatakan rasa tidak puas hati berkenaan isu penyerahan kunci rumah yang tertangguh. FOTO Azrul Edham

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 4:56 PM