Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM8.9 juta bagi tiga kawasan untuk kerja penyelenggaraan dan baik pulih kawasan pelancongan.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, tiga kawasan itu ialah Hulu Selangor, Kota Tinggi dan Port Dickson.

"Kawasan Hulu Selangor akan menerima sebanyak RM5 juta, Kota tinggi, Johor sebanyak RM2 juta dan Port Dickson RM1.9 juta.

"Ini bagi menyelenggara dan membaikpulih kawasan pelancongan kerana ia perlu diperbaiki kerana sektor ini (pelancongan) juga menyumbang kepada pendapatan negara," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Port Dickson hari ini.

Katanya, kelulusan peruntukan itu bagi membaik pulih serta menaik taraf beberapa infrastruktur membabitkan projek untuk meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.

Zuraida berkata, di bawah Belanjawan 2021, KPKT turut menerima peruntukan meningkatkan ketersediaan tempat yang menjadi tumpuan pelancong.

Zuraida Kamaruddin (tengah) menunjukkan pelitup muka yang akan diberi kepada wakil KePT pada lawatan kerja Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan di MPPD. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Zuraida Kamaruddin (tengah) menunjukkan pelitup muka yang akan diberi kepada wakil KePT pada lawatan kerja Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan di MPPD. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

"Di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan pelaksanaan kerja penyelenggaraan dan baik pulih kemudahan pelancongan.

"Di Port Dickson, sebanyak RM 1.9 juta diperuntukan bagi membaiki kawasan riadah, gerai, kawasan pantai dan kemudahan awam untuk menarik pelancong datang beriadah di Port Dickson yang terkenal sebagai Pantai Peranginan Negara.

"Pihak kementerian juga turut memperuntukkan RM6.5 juta bagi membaikpulih kawasan cerun yang runtuh di Taman Desa PD sejak September tahun lalu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zuraida berkata, beliau baru sahaja mengadakan pertemuan dengan pembeli Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang terbengkalai akibat wabak Covid-19 di Kuala Lukut.

"Saya juga mengadakan pertemuan dengan pemaju perumahan PR1MA dan perjumpaan dengan sebahagian pembeli selepas melawat kawasan itu.

"Projek itu dalam proses dan sebanyak 659 unit rumah dalam pembinaan dan hampir 75 peratus dan dijangka siap 30 Jun tahun ini.

"Punca kelewatan adalah kerana wabak Covid-19 dan sekarang projek itu akan dipantau PBT dan Exco Kerajaan Negeri Sembilan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 6:07 PM