GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Seremban: Pembeli projek kediaman Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Bandar Ekar kini boleh menarik nafas lega selepas menerima khabar gembira apabila projek pembinaan yang tergendala sejak dua tahun lalu akan diteruskan semula dan dijangka siap pada September 2021.

Pembeli yang kebanyakan adalah penjawat awam mula menerima perkhabaran gembira itu baru-baru ini, sekali gus menamatkan penantian selama tiga tahun selepas projek itu sepatutnya siap pada awal Januari 2019.

Hamidi Shamsuddin, 36, berkata, dia bersyukur apabila usahanya bersama pembeli lain memperjuangkan hak sejak dua tahun lalu akhirnya membuahkan hasil.

Katanya, projek yang sepatutnya siap awal Januari 2019 tertangguh disebabkan masalah yang tidak diketahui dan menimbulkan kebimbangan terhadap pembeli yang sudah membuat bayaran setiap bulan, namun belum dapat menduduki rumah mereka.

"Sejak 2018 sehingga tahun ini kami giat berurusan dengan pejabat PR1MA, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) untuk menyelesaikan kemelut projek PR1MA Rantau ini, bagaimanapun belum ada jalan penyelesaian ketika itu," katanya kepada Bernama ketika ditemui di tapak projek PR1MA Bandar Ekar, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Hamidi tidak menolak perkara berkenaan turut sama diperjuangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau Datuk Seri Mohamad Hasan serta Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin, yang akhirnya memberi khabar gembira buat pembeli.

Hamidi juga berterima kasih kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin yang turut membantu dalam usaha pemulihan projek berkenaan.

Projek PR1MA Bandar Ekar membabitkan pembinaan 776 unit rumah iaitu 210 rumah satu setengah tingkat dan 566 adalah rumah dua tingkat dan berada dalam status 60 peratus siap setakat tahun lepas dan dengan 80 peratus atau 620 unit telah terjual.

Bagi Syazwan Azahar, 35, berita berkenaan adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu memandangkan ketika ini dia terpaksa menanggung beban komitmen yang tinggi termasuk pemotongan bayaran perumahan meskipun belum boleh mendudukinya.

Perasaan sama turut dikongsi Noor Hafizah Omar, 39 dan Muhammad Arif Adnan, 30 yang menyifatkan khabar gembira berkenaan menghidupkan kembali impian mereka untuk menduduki kediaman itu bersama keluarga.

Namun di sebalik kisah gembira, Noor Hafizah juga sempat berkongsi kisah duka yang menurutnya terdapat dalam kalangan pembeli sudah kehilangan insan tersayang dan tidak sempat menduduki kediaman impian mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 3:01 PM