Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan berlaku pertemuan antara Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir bersama kepimpinan tertinggi Pas baru-baru ini.

Beliau berkata, intipati perbincangan antara dua pihak bagaimanapun belum didedahkan setakat ini memandangkan ia hanya membabitkan lima kepimpinan tertinggi parti bersama Mukhriz.

"Saya difahamkan Mukhriz ada berjumpa dengan beberapa pemimpin Pas. Tak pasti di mana pertemuan itu dilakukan tetapi ada jumpalah.

"Saya pun tidak pasti apa perbincangan itu kerana saya tiada dalam perjumpaan itu," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian Majlis Penyerahan Geran Hak Milik Tanah Bagi Daerah Kota Setar serta Pelancaran 'Kedah Cashless' di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berharap perbincangan awal yang diadakan itu membawa kepada hasil yang positif.

"Saya pun tak tanya apa yang mereka bincangkan. Mana tahu, bila ditanya, pemimpin Pas bagitau Mukhriz minta kerusi (di Kedah), jammed saya," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi mengalu-alukan sekiranya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jitra itu berhasrat menyertai Pas atau PN.

"Siapa pun kalau nak sertai Pas kita terima. Pas adalah parti terbuka. Mukhriz pun boleh kalau beliau mahu masuk Pas. Cuma kalau nak jadi MB susahlah sikit," katanya.

Sebelum ini, Mukhriz dilaporkan berkata, Pejuang mengambil keputusan berundur daripada Gerakan Tanah Air (GTA) bagi memberi tumpuan kepada usaha pengukuhan parti itu sebelum memberi nilai tambah kepada mana-mana gabungan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan perwakilan dalam Perhimpunan Agung Pejuang kali kedua yang berlangsung bulan lalu, ekoran kekalahan teruk parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau turut tidak menolak kemungkinan Pejuang akan menjalin kerjasama politik sama ada dengan PN atau Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 4:29 PM