Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
BERNAMA

Putrajaya: Dua beradik terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Rayuan di sini, hari ini mengetepikan sabitan salah terhadap pertuduhan mengedar 986.10 gram dadah jenis kanabis, empat tahun lalu.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama-sama Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Lim Chong Fong sebulat suara memutuskan rayuan oleh S Rubanraaj, 27, dan S Nagaraja, 35, mempunyai merit.

Dalam penghakiman, Hanipah berkata, Mahkamah Tinggi bertanggungjawab untuk mempertimbangkan semua bukti di hadapannya tetapi dalam kes ini, hakim gagal mematuhi Seksyen 182A Kanun Tatacara Jenayah kerana tidak menimbangkan kes pembelaan yang menjurus kepada salah laku keadilan.

Beliau berkata, berdasarkan jumlah bukti secara menyeluruh yang dikemukakan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi, sabitan terhadap perayu adalah tidak selamat.

Pada 27 Februari 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman mati terhadap adik-beradik berkenaan, yang bekerja sebagai penarik kereta, selepas didapati bersalah mengedar dadah di kawasan parkir Apartmen Prima Bayu, Jalan Batu Unjur, Taman Bayu Perdana, Klang, Selangor, pada 10 malam, 26 April 2018.

Peguam perayu, Afifuddin Ahmad Hafifi berkata, penilaian penghakiman oleh hakim Mahkamah Tinggi terhadap bukti adalah tidak mencukupi berkenaan laporan polis dan akuan bersumpah oleh saksi pembelaan.

Katanya, hakim terkhilaf apabila mengatakan pembelaan anak guamnya hanya semata-mata penafian kosong dan sesuatu yang difikirkan kemudian.

Timbalan Pendakwa Raya, Atiqah Abdul Harim, pula hujah bahawa kedua-dua lelaki tersebut mempunyai niat bersama untuk melakukan jenayah itu dan hakim Mahkamah Tinggi telah menilai bukti tersebut.

Beliau berkata, walaupun hakim Mahkamah Tinggi tidak merujuk kepada laporan polis tetapi ia tidak menjejaskan kes pendakwaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 6:04 PM