Oleh Zuliaty Zulkiffli


Pendang: "Saya tak sampai hati melihat isteri menangis akibat kesakitan kerana luka di payu dara kanannya semakin hari semakin teruk menyebabkan dia tidak dapat tidur.

"Kini, isteri hanya bertahan dengan ubat morfin yang diberi oleh doktor. Saya tidak tahu sampai bila isteri boleh bertahan selain buntu untuk mencari sumber kewangan bagi meneruskan rawatannya," kata Mohd Nizam Ishak, 41.

Isterinya, Norizan Abu Seman, 40, disahkan menghidap barah payu dara pada 2020 selepas menyedari ada ketulan sewaktu menyusukan anak bongsunya yang ketika itu berusia dua tahun.

Menurut Mohd Nizam, disebabkan masih berpantang dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sewaktu pandemik Covid-19 melanda negara, pergerakan ketika itu agak terhad.

"Saya membawanya ke Klinik Kesihatan Pendang sebelum isteri dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

"Dua bulan kemudian, bengkak di payu dara isteri semakin membesar sebelum pecah," katanya ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Morai, Mukim Padang Pusing hari ini.

Menurut Mohd Nizam yang bekerja sebagai mekanik dengan pendapatan tidak menentu, isterinya kemudiannya menjalani rawatan kemoterapi di HSB.

"Kalau hendak ke hospital, sekurang-kurangnya saya perlu ada RM100 untuk kos ulang alik selain RM80 untuk setiap sesi kemoterapi.

"Dua anak kami, Fitya Nur Fiqiah, berusia lima tahun dan Muhammad Farish Rifqi, berumur 11 tahun, terpaksa ponteng sekolah jika ibunya dimasukkan ke wad kerana tiada siapa menguruskan mereka," katanya.

Menurut Mohd Nizam, isterinya akan meneruskan rawatan yang disyorkan oleh doktor walaupun keadaannya semakin teruk malah seluruh badannya lemah.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Islam 0208 4020 5139 73 atas nama Mohd Nizam Ishak.

Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM) Zuraini Kamal yang menziarah pesakit berkenaan hari ini, turut membantu menghantarnya ke HSB untuk mendapatkan rawatan.

Zuraini berkata, ini bukan kali pertama CSM membantu menghantar pesakit ke hospital namun sudah beberapa kali dijalankan.

"Selain itu, CSM turut menghulurkan sumbangan wang serta barangan keperluan dapur untuk Norizan bagi meringankan beban," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 2:59 PM
Mohd Nizam Ishak menemani isterinya, Norizan Abu Seman yang menghidap kanser payu dara di rumah mereka di Kampung Bukit Morai, Jalan Padang Pusing. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Mohd Nizam Ishak menemani isterinya, Norizan Abu Seman yang menghidap kanser payu dara di rumah mereka di Kampung Bukit Morai, Jalan Padang Pusing. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI