Mohd Rafsanjani menyiapkan minuman susu kepada ibunya, Habibah Haron yang menghidap kanser tahap empat. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Mohd Rafsanjani menyiapkan minuman susu kepada ibunya, Habibah Haron yang menghidap kanser tahap empat. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: "Sejak kesihatan emak semakin merosot selepas disahkan menghidap kanser payu dara tahap empat, saya tekad hendak menjaganya kerana bimbang melihat keadaannya.

"Buat sementara ini, saya tidak mahu cari kerja lagi kerana mahu sentiasa menemani emak di rumah selain membawanya ke klinik atau hospital serta melakukan tugas di rumah seperti memasak, mencuci baju serta mengemas rumah," kata Mohd Rafsanjani Ramli, 33.

Mohd Rafsanjani berkata, ibunya, Habibah Haron, 63, yang menghidap kanser payu dara tahap empat juga akan menjalani rawatan susulan di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 8 Januari ini.

Katanya, ibunya sudah pun menjalani enam kali pusingan kemoterapi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan perlu meneruskan rawatan itu untuk mengecutkan ketulan pada payu daranya.

"Setiap hari saya bangun awal pagi untuk mencuci baju dan mengemas rumah selain memasak untuk emak kerana dia tidak boleh buat kerja rumah seperti dulu.

"Sebelum ini saya pernah bekerja sebagai jurujual telefon bimbit di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur tetapi mengambil keputusan untuk berhenti kerja ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sewaktu pandemik Covid-19 dan pulang ke kampung.

"Ketika itu juga, emak disahkan menghidap kanser menyebabkan saya mengambil keputusan untuk menjaganya disebabkan adik beradik yang lain tinggal berjauhan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Impian, Mergong, di sini hari ini.

Menurutnya, segala kos rawatan dan kemoterapi juga perlu dibayar menggunakan wang yang ada.

Sementara itu, Habibah berkata, dia menyedari bengkak di payu dara kirinya itu sudah lama tetapi tidak sakit menyebabkan dia tidak menjalani pemeriksaan ketika itu.

Namun katanya, anak-anaknya kemudian memujuknya supaya membuat pemeriksaan di hospital dan doktor mengesahkan menghidap kanser payu dara tahap empat.

"Disebabkan itulah saya perlu menjalani rawatan kemoterapi segera untuk memastikan sel kanser tidak terus merebak.

"Saya akan menjalani kemoterapi lagi sebab doktor nak tengok jika bengkak itu terus mengecut atau sebaliknya sebelum pembedahan dilakukan untuk membuang payu dara sebelah kiri yang sudah luka dan sudah mereput," katanya yang menerima kunjungan Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal yang turut memberikan bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2024 @ 11:52 AM