Jasri (kanan) menunjukan petai yang di panjatnya di Taman Rusa, di sini. FOTO Paya Linda Yahya
Jasri (kanan) menunjukan petai yang di panjatnya di Taman Rusa, di sini. FOTO Paya Linda Yahya
Oleh Paya Linda Yahya


Gua Musang: Kelihatan mudah namun memanjat pokok petai memerlukan kepakaran dan ketelitian kerana dahannya cenderung patah dan tinggi yang boleh mencecah 30 meter.

Namun Jashari Zakaria, 55, sudah 'alah bisa tegal biasa' kerana kemahiran itu menjadi pekerjaannya sejak lebih tiga dekad, bahkan punca pendapatan untuknya menyara isteri dan anak.

Katanya, semua empat anaknya disara dengan hasil upah memanjat pokok petai hingga mereka yang kini berusia 19 hingga 33 tahun dapat melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi dan berjaya.

"Saya mula memanjat pokok petai ini sejak berusia 20 tahun hingga sekarang dan turut melakukan kerja kampung lain seperti menoreh getah dan menebas.

"Sudah ribuan pokok petai yang saya panjat dan Alhamdulillah setakat ini tidak pernah jatuh atau cedera parah akibat memanjat.

"Pokok petai perlu dipanjat dengan berhati-hati kerana dahannya mudah patah dan saya akan menggunakan tali setiap kali memanjat," katanya ketika ditemui di Taman Rusa, di sini.

Akuinya, tidak ramai orang mahu mengambil upah memanjat pokok petai kerana berisiko dan perlu berstamina tinggi selain kaki dan tangan yang kuat untuk menggunakan galah bagi mengait petai di hujung dahan.

"Biasanya saya dapat mengumpul antara 300 hingga 500 papan petai setiap kali memanjat dan jumlah itu juga bergantung kepada petai yang terdapat pada pokok.

"Pernah suatu ketika saya dapat sehingga 1,000 papan sehari dan upahnya RM80 (untuk 1,000 papan) yang perlu dibahagi dengan pemilik pokok," katanya.

Jashari bersyukur dengan kepakarannya itu menyebabkan ramai pekebun masih mengupah dia memanjat pokok petai.

"Kalau diikutkan sekarang sudah ramai yang menggunakan khidmat beruk untuk memanjat pokok petai, namun saya bersyukur ada yang masih mengupah saya," katanya.

Menurutnya, permintaan terhadap petai masih tinggi dan ia dijual RM5 untuk enam papan dan semahal RM1 bagi satu papan, bergantung jenis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 7:30 AM