AZMAN Ab Rahman menunjukkan lokasi mayat Kadir Misran yang ditemui dipangkal pokok getah di Kampung Rembang Panas. FOTO Amran Yahya
AZMAN Ab Rahman menunjukkan lokasi mayat Kadir Misran yang ditemui dipangkal pokok getah di Kampung Rembang Panas. FOTO Amran Yahya
Amran Yahya

“KAMI pernah nasihatkan arwah supaya jangan memanjat pokok petai lagi memandangkan usianya yang sudah lanjut,” kata Azman Ab Rahman, 42, anak saudara kepada Kadir Misran, 77, yang maut dipercayai selepas terjatuh pokok di di Kampung Rembang Panas, Kuala Pilah semalam.

Mayat Kadir ditemui isterinya Halimah Udon, 66, pada 6.45 petang berhampiran pokok getah yang terletak kira-kira 30 meter dari rumahnya.

Azman berkata, arwah ada menghantar isterinya mengaji al-Quran di rumah jiran di kampung terbabit kira-kira 4 petang.

“Setiap kali selesai mengaji, arwah akan menjemput isterinya kira-kira 5.30 petang untuk pulang ke rumah.

“Bagaimanapun, isterinya menunggu sehingga 6 petang tetapi arwah masih tidak datang menjemputnya menyebabkan isterinya terpaksa meminta bantuan rakan untuk menghantarnya pulang.

“Setibanya di rumah, isterinya mendapati semua pintu dan tingkap tidak berkunci menyebabkan dia terus ke belakang rumah untuk mencari mangsa.

“Bagaimanapun, isterinya terkejut melihat tubuh suaminya kaku dalam keadaan tersandar di sebatang pokok getah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Terdapat tangga dan sebatang buluh berhampiran pokok getah yang dipercayai menjadi galah untuk mengait buah petai.

Menurutnya, disebabkan pokok petai terlalu tinggi, arwah dipercayai memanjat pokok getah menggunakan tangga terlebih sebelum mengait buah petai dengan menggunakan galah.

“Kita tidak dapat pastikan sama ada arwah terjatuh disebabkan tergelincir atau sebagainya dan hal ini biarlah pihak polis yang menyiasat.

“Bagaimanapun, pekerjaan utama arwah adalah penoreh getah dan memanjat pokok petai ini hanyalah pekerjaan sampingan untuk kegunaan sendiri dan sebahagian untuk dijual,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Amran Mohd Ghani ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Menurutnya, mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk proses bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 1:49 PM