FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Petaling Jaya: Satu sindiket curi motosikal di daerah ini ditumpaskan polis dengan penahanan empat lelaki, Isnin lalu.

Suspek berusia 25 hingga 30 tahun itu ditahan polis dalam serbuan pada 1.30 pagi di Kampung Lindungan Bulan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, penahanan suspek susulan laporan polis mengenai kehilangan motosikal Yamaha LC oleh seorang lelaki pada hari sama.

Menurutnya, dalam serbuan sama polis merampas tiga lagi motosikal Yamaha LC, peralatan curi motosikal dan wang RM800.

"Suspek mengakui terbabit dalam kes curi motosikal yang dilaporkan selain mencuri beberapa lagi motosikal di sekitar Petaling Jaya.

"Hasil semakan mendapati semua suspek memiliki rekod pelbagai kes jenayah lampau membabitkan curi motosikal, samun dan mendatangkan kecederaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, semua suspek direman selama dua hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan.

Katanya, hasil tangkapan suspek terbabit, polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes curi motosikal daerah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 6:44 PM