Gambar hiasan
Gambar hiasan
Oleh Asrol Awang


Kuantan: Seorang peniaga lelaki berusia 36 tahun kerugian RM69,374 selepas diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud, bulan lalu.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, berdasarkan laporan, mangsa yang berasal dari Raub berminat untuk membuat pinjaman RM40,000 melalui iklan pinjaman wang di laman sosial pada 31 Januari lalu.

Katanya, pinjaman terbabit bagi tujuan pembayaran kad kredit dan pengubahsuaian rumah.

"Suspek bersetuju memberi pinjaman dan meminta mangsa untuk membuat beberapa bayaran seperti untuk proses pinjaman, insurans pinjaman dan cukai pinjaman.

"Mangsa kemudiannya membuat 10 transaksi berjumlah RM69,374.00 ke tiga akaun bank yang berbeza.

"Bagaimanapun, mangsa akhirnya menyedari diperdaya. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya pada kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Ramli menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan sindiket penipuan pinjaman tidak wujud.

Orang ramai juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon di https://semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat sebarang transaksi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2023 @ 3:15 PM