PETUGAS di PPS menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir. FOTO ihsan Phee Boon Poh
PETUGAS di PPS menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir. FOTO ihsan Phee Boon Poh
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Seramai 59 mangsa banjir membabitkan 17 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Jawi dan Tasek Gelugor, dekat sini, selepas rumah mereka dinaiki air berikutan hujan lebat sejak petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, dua PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bakap Indah dan Dewan Komuniti Kubang Menerong dibuka jam 10 dan 11 malam tadi bagi menempatkan mangsa banjir.

Katanya, kesemua mangsa dalam keadaan baik dan kebajikan mereka dipantau petugas dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah masing-masing.

"PPS SK Bakap Indah menempatkan lapan keluarga membabitkan 21 mangsa manakala PPS Dewan Komuniti Kubang Menerong menempatkan sembilan keluarga membabitkan 38 mangsa.

"Ketika ini hanya dua PPS ini saja dibuka dan maklumat lanjut akan dikongsikan dari semasa ke semasa" katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Hujan lebat yang berlarutan sejak jam 4 petang semalam menyebabkan beberapa lokasi di Seberang Perai ditenggelami air.

Antara kawasan yang dilaporkan terjejas ialah Seberang Perai Selatan iaitu di Jalan Sungai Baong, Jalan Sungai Duri, Relau dan Sungai Bakap.

Sementara itu, di Seberang Perai Utara antara kawasan dinaiki air membabitkan Bertam dan Tasek Gelugor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 11:21 AM