Khairulmizan Yahya


Kuantan: Padah mengunakan wang peneroka berjumlah RM150,793 untuk pelaburan Forex, tiga tahun lalu, seorang bekas penyelia FELDA dijatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan, di sini, hari ini.

Hakim, Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain menjatuhkan hukuman itu kepada Muhammad Aizat Zaidi, 34, selepas tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan pindaan yang dikenakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pindaan, tertuduh sebagai penyelia FELDA Sebertak, Bera, memalsukan sebahagian tandatangan peneroka pada senarai akuan penerimaan bayaran tunai serta senarai akuan penerimaan bayaran tunai pendahuluan tunai (pt).

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara November 2020 dan Disember 2020 manakala pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 464(a) Kanun keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen 465 kanun keseksaan.

Peguambela Muhammad Aizat, Mazura Ismail dalam rayuannya meminta mahkamah mengenakan hukuman penjara paling minima tanpa denda berikutan anak guamnya insaf dengan perbuatannya malah membuat bayaran ganti sebanyak 50 peratus daripada nilai keseluruhan wang kepada peneroka terbabit dan berhasrat membayar semua wang peneroka berkenaan.

Akibat kes berkenaan, Muhammad Aizat kehilangan pekerjaannya dan kini bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan RM50 sehari serta perlu menanggung ibu bapanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rifah Izzati Abdul Mutalif dalam hujahnya berkata, tindakan tertuduh mencalarkan imej penjawat awam serta intergriti FELDA.

"Walaupun tertuduh ada usaha untuk membayar balik wang peneroka berkenaan namun mahkamah perlu mengambil kira kekerapan dan keseriusan kesalahan yang dilakukan itu selain ia membabitkan peneroka yang kebanyakkannya adalah warga emas serta wang berkenaan adalah pendapatan untuk sara hidup mereka," katanya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan serta denda sebanyak RM8,000 manakala wang jaminan dikembalikan.

MUHAMMAD Aizat dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuantan selepas dijatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM8,000. FOTO Farizul Hafiz Awang
MUHAMMAD Aizat dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuantan selepas dijatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM8,000. FOTO Farizul Hafiz Awang

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 1:52 PM