Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Murah dan menjimatkan. Ia antara maklum balas yang diterima dalam kalangan pembeli berkaitan Menu Rahmah yang ditawarkan pada harga maksimum RM5, khususnya buat golongan B40.

Menu Rahmah mula dijual di seluruh negara sejak semalam.

Tinjauan di Mydin Wholesale Hypermarket, Bukit Jambul di sini, mendapati pengunjung berpuas hati dengan harga dan jenis menu yang ditawarkan.

Antara menu sarapan yang dijual ialah set nasi lemak, mi goreng, bihun dan nasi goreng pada harga RM2.50 setiap satu manakala makanan tengah hari pula ialah nasi dan aneka lauk dengan harga RM4.90.

Pasangan adik-beradik, Rosma Awang, 75, dan Khadijah, 82, turut tidak ketinggalan untuk mendapatkan menu berkenaan.

Rosma dari Batu Maung berkata, inisiatif itu menjimatkan dan memudahkan orang ramai, termasuk warga emas.

Katanya, berikutan lanjut usia, mereka jarang memasak dan hanya membeli di kedai berhampiran.

"Dua kali saya lihat pada senarai harga yang dipaparkan kerana tidak percaya masih ada yang menjual nasi lemak pada harga serendah RM2.50 ketika ini.

"Bagi kami yang sudah lanjut usia, memang tidak makan banyak tetapi bagi individu yang berpendapatan rendah dan berkeluarga, ia amat membantu golongan berkenaan," katanya ditemui.

Pekerja kontrak, Tasman Masrul, 65, pula berharap, inisiatif berkenaan menjadi penanda aras terhadap pengurangan harga makanan di seluruh negara.

"Harga makanan memang mahal ketika ini. Diharapkan, inisiatif ini boleh dijadikan rujukan untuk mengurangkan harga barangan makanan selepas ini," katanya.

Sementara itu, Pengurus Cawangan Mydin Wholesale Hypermarket berkenaan, Mohd Sobri Tajudin berkata, menu berkenaan mendapat sambutan baik dalam kalangan pengunjung.

Katanya, kebanyakan pengunjung yang membeli Menu Rahmah terdiri daripada pelanggan berkeluarga, suri rumah, pekerja sektor perindustrian serta perkilangan berhampiran.

"Menu ini dimasak enam kakitangan bahagian dapur kami. Ia menggunakan sepenuhnya bahan masakan segar yang dijual di pasar raya ini," katanya.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, inisiatif yang dilancarkan oleh kementeriannya itu membabitkan 15,000 premis menjual makanan.

Katanya, inisiatif itu bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup.

Pelanggan yang memasuki kedai makan atau restoran yang menyertai program berkenaan boleh memesan Menu Rahmah ketika buat pesanan.

Orang ramai membeli Menu Rahmah di Mydin Wholesale Hypermarket Bukit Jambul. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Orang ramai membeli Menu Rahmah di Mydin Wholesale Hypermarket Bukit Jambul. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2023 @ 2:51 PM