Azmi Abu Kassim melakukan pemeriksaan perbarisan anggota pada Perhimpunan Bulanan IPK Kuala Lumpur di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. FOTO ASWADI ALIAS
Azmi Abu Kassim melakukan pemeriksaan perbarisan anggota pada Perhimpunan Bulanan IPK Kuala Lumpur di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. FOTO ASWADI ALIAS
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seramai 10 individu dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan tanpa permit di hadapan Kedutaan Sweden dan Kedutaan Belanda di ibu negara, Jumaat lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya merakam keterangan semua individu berkenaan, baru-baru ini.

"Kita akan memanggil beberapa lagi individu yang sudah dikenal pasti akan dipanggil dalam masa terdekat," katanya pada Himpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan polis mengenal pasti individu terbabit dengan dua perhimpunan yang tidak mematuhi undang-undang itu dan mereka akan dipanggil untuk dirakam keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Dang Wangi membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Terdahulu, polis mengesan demonstrasi aman dan serahan memorandum membantah pembakaran al-Quran dan demonstrasi solidariti bantahan penghinaan agama Islam yang tidak mematuhi undang-undang diadakan di lokasi berkenaan.

Pemerhatian polis mendapati kira-kira 80 individu menyertai perhimpunan yang diadakan di hadapan Kedutaan Belanda dan seramai 400 orang menyertai perhimpunan diadakan di hadapan Kedutaan Sweden.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 10:35 AM