SYED Saddiq hadir di IPD Dang Wangi untuk diambil keterangan. FOTO NSTP
SYED Saddiq hadir di IPD Dang Wangi untuk diambil keterangan. FOTO NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seramai 13 individu termasuk Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sudah diambil keterangan berhubung perhimpunan Protes Mana Kapal LCS? setakat hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya kini dalam proses melengkapkan kertas siasatan berhubung perhimpunan itu.

"Setakat hari ini, kita sudah memanggil 13 individu untuk diambil keterangan berhubung perhimpunan itu.

"Kita sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes itu dan melihat jika ada individu lain akan dipanggil untuk memberi keterangan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Syed Saddiq tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi jam 3 petang untuk diambil keterangan sebelum dilihat kelur dari IPD berkenaan kira-kira jam 4 petang tadi selepas hampir satu jam diambil keterangan.

Difahamkan sembilan lagi individu hadir memberi keterangan di IPD Dang Wangi petang tadi termasuk Setiausaha Agung Muda Amir Hadi; Ketua Pemuda DAP Howard Lee Chuan serta aktivis, Siti Kassim.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan kira-kira 60 individu menyertai protes itu termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa dan ahli parti politik yang diadakan di hadapan pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, Ahad lalu.

Mereka juga dilihat memegang beberapa plakad dan kaid rentang bertulis 'keselamatan negara terancam kesiagaan TLDM terjejas'; 'H20 letak jawatan'; 'siasat di mana kapal!'; 'mana kapal LCS' dan lain-lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 6:41 PM