SYED Saddiq berucap ketika himpunan aman berhubung isu skandal LCS. FOTO Asyraf Hamzah
SYED Saddiq berucap ketika himpunan aman berhubung isu skandal LCS. FOTO Asyraf Hamzah
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis akan memanggil 13 individu yang dikenal pasti terbabit dengan perhimpunan Protes Mana Kapal LCS? di pusat beli-belah di hadapan Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya mengesan satu perhimpunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang di lokasi itu 2 petang tadi.

"Hasil pemerhatian dilakukan mendapati kira-kira 60 individu menyertai protes termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa dan ahli parti politik.

"Mereka juga dilihat memegang beberapa plakad dan kain rentang bertulis 'keselamatan negara terancam kesiagaan TLDM terjejas'; 'H20 letak jawatan'; 'siasat di mana kapal!'; 'mana kapal LCS' dan lain-lain," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Dellhan berkata, pihaknya membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Setakat ini, 13 individu sudah dikenal pasti dan mereka yang terbabit dalam perhimpunan itu akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk diambil keterangan dalam masa terdekat untuk siasatan lanjut.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terbabit dengan apa-apa kesalahan yang melanggar undang-undang dan tindakan tegas akan diambil di bawah peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan hampir 100 individu menyertai perhimpunan Protes Mana Kapal LCS? yang diadakan di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, hari ini.

Antara individu yang hadir adalah Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad; Naib Ketua Pemuda Amanah Abas Azmi; Ketua Pemuda DAP Howard Lee Chuan; Setiausaha Agung Muda Amir Hadi serta aktivis, Siti Kassim.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2022 @ 7:11 PM