Mangsa banjir di PPS Dewan Orang Ramai Yong Peng mengemas barangan mereka selepas dibenarkan pulang tengah hari ini. FOTO IHSAN APM
Mangsa banjir di PPS Dewan Orang Ramai Yong Peng mengemas barangan mereka selepas dibenarkan pulang tengah hari ini. FOTO IHSAN APM
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Selepas lebih empat minggu berlindung, seramai 141 mangsa banjir di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Sri Medan dan Yong Peng, Batu Pahat, di sini, dibenarkan pulang pada jam 12 tengah hari tadi.

Ia membabitkan PPS Sekolah Kebangsaan Seri Medan yang menempatkan 62 mangsa daripada 15 keluarga dan Dewan Orang Ramai Yong Peng yang mempunyai 79 mangsa daripada 22 keluarga.

Mereka adalah mangsa banjir terakhir yang dibenarkan pulang selepas lebih empat minggu berlindung di PPS berkenaan berikutan bencana bah besar yang melanda negeri ini sejak 28 Februari lalu.

Pusat Kawalan Operasi Bencana Johor memaklumkan penutupan dua PPS terakhir itu bermakna bencana banjir di negeri ini sudah berakhir secara rasmi tengah hari semalam.

"Terima kasih kepada semua yang terbabit terutama anggota penyelamat, agensi awam dan swasta, sukarelawan serta rakan media yang berganding bahu membuat laporan ketika Johor berdepan bencana bah sejak 28 Februari lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Banjir besar di Johor kali ini dilaporkan merekodkan sejumlah 74,453 mangsa daripada 26,376 keluarga di semua 10 daerah selain 379 PPS dibuka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2023 @ 12:48 PM