JOHARI (kanan) bertemu penduduk Kampung Tual B, Pos Senderut. FOTO MOHD RAFI MAMAT
JOHARI (kanan) bertemu penduduk Kampung Tual B, Pos Senderut. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Membina pagar elektrik antara kaedah yang akan digunakan untuk menghalang kumpulan gajah daripada terus menceroboh kawasan kampung Orang Asli di Pos Senderut dan Pos Betau, Lipis.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang, Johari Alwi berkata cadangan membina pagar elektrik dibuat oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang yang mempunyai kepakaran dalam membendung ancaman gajah di negeri ini.

Menurutnya, Jakoa menyerahkan sepenuhnya kepada Perhilitan dalam mengatasi konflik antara gajah dengan masyarakat Orang Asli di Pos Senderut dan Pos Betau dalam memastikan ia dapati diselesaikan segera.

Katanya, sebelum ini Perhilitan sudah membina pagar elektrik di beberapa penempatan Orang Asli di negeri ini dan usaha berkenaan ternyata berkesan.

"Sekiranya projek membina pagar elektrik menghalang gajah daripada menceroboh beberapa kampung di Pos Senderut dan Pos Betau berjaya dilaksanakan, ia adalah projek pertama di Lipis.

"Saya berharap projek berkenaan dapat segera dilaksanakan bagi mengelak kejadian tidak diingini berulang," katanya, dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata demikian mengulas berikutan kejadian seekor gajah jantan menyerang hingga menyebabkan kematian remaja Orang Asli, Andy Yok Manin, 15 di Kampung Tual B, Pos Senderut, Isnin lalu.

Kumpulan gajah berkenaan dipercayai turut menyerang dengan memijak hingga menyebabkan kematian seorang wanita Orang Asli di di Kampung Simoi Baru, Pos Betau pada 7 Disember tahun lalu.

Johari berkata, walaupun terdapat beberapa individu yang membantah cadangan Perhilitan membina pagar elektrik di Pos Senderut dan Pos Betau, namun itu tidak bermakna projek berkenaan dibatalkan.

Menurutnya, pegawai Jakoa akan mengadakan pertemuan dengan penduduk kampung bagi menerangkan kebaikan membina pagar elektrik di kawasan kampung mereka.

"Saya difahamkan pembinaan pagar elektrik tidak menjejaskan pergerakan masyarakat Orang Asli untuk ke kebun dan ke hutan, pintu disediakan untuk mereka keluar serta masuk. Tidak ada alasan untuk mereka membantah projek berkenaan yang bertujuan menjamin keselamatan penduduk setempat.

"Saya berharap isu berkenaan dapat diselesaikan secara baik demi kepentingan bersama, kita tidak mahu kejadian gajah memusnahkan kebun dan menyerang penduduk Orang Asli terus berulang," katanya yang yakin Orang Asli akan akur dengan keputusan yang dibuat.

Mengenai operasi menangkap gajah yang menyerang remaja Orang Asli di Kampung Tual B, Isnin lalu, Johari berkata Perhilitan meneruskan operasi dan dipercayai haiwan berkenaan telah meninggalkan kampung terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2023 @ 9:37 AM