Penduduk Orang Asli Kampung Tual B, Pos Senderut menunjukan tapak kaki gajah jantan yang keluar dari hutan selepas menyerang seorang remaja hingga menyebabkan kematian. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Penduduk Orang Asli Kampung Tual B, Pos Senderut menunjukan tapak kaki gajah jantan yang keluar dari hutan selepas menyerang seorang remaja hingga menyebabkan kematian. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mendapati gajah jantan yang menyerang hingga menyebabkan kematian remaja Orang Asli di Kampung Tual B, Pos Senderut, Isnin lalu sudah kembali ke habitatnya di Hutan Simpan Ulu Jelai.

Pengarah Perhilitan Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, pihaknya membuat pemantauan di Pos Senderut, Pos Lenjang, Pos Betau, Pos Pantos dan Kampung Keledek di Lipis, namun tiada petunjuk atau aduan terbaharu kehadiran gajah di lokasi berkenaan.

Menurutnya, operasi mengesan dan menangkap haiwan terbabit akan dilakukan sehingga 19 Januari ini sebelum ditamatkan jika tiada kesan atau aduan baharu.

"Walaupun kita menamatkan operasi mengesan dan menangkap gajah, kumpulan pemantau tetap akan meneruskan pemantauan situasi pergerakan haiwan itu di kawasan terbabit.

"Perhilitan akan bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (Jakoa) Pahang dalam meningkatkan kefahaman dan kesedaran berhubung langkah keselamatan dan usaha mitigasi yang sesuai dijalankan di kawasan penempatan Orang Asli," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kejadian gajah jantan menyerang hingga menyebabkan kematian remaja Orang Asli, Andy Yok Manin, 15, di Kampung Tual B, Pos Senderut, Isnin lalu.

Kumpulan gajah berkenaan dipercayai turut menyerang dengan memijak hingga menyebabkan kematian seorang wanita Orang Asli di di Kampung Simoi Baru, Pos Betau pada 7 Disember tahun lalu.

Menurutnya, masyarakat setempat diingatkan berwaspada jika terserempak dengan haiwan liar berkenaan kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku yang mengundang kejadian tidak diingini.

Katanya, sebarang aduan boleh disalurkan kepada Pejabat Perhilitan terdekat atau melalui talian hotline Perhilitan 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2023 @ 4:24 PM