Siti Rohana Idris


Kuala Krai: Sejak 10 tahun lalu, Sufia Az-Zahra Ghazali menumpang kasih keluarga angkat yang memeliharanya bagai menatang minyak yang penuh.

Tidak pernah mengenali ibu dan bapa kandung, kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun berketurunan Vietnam itu hanya mengenali Suziraazmawati Nor, 44 sahaja sebagai ibu yang membelanya selepas diserahkan ketika berusia tiga hari.

Bagaimanapun, kasih sayang ibu angkat terhenti sejak tahun lalu apabila Suziraazmawati dijemput Ilahi akibat penyakit buah pinggang kronik.

Sejak itu, Sufia Az-Zahra menetap bersama Esah Jenal, 71, iaitu ibu kepada arwah Suziraazmawati.

Esah berkata, ibu kandung cucu angkatnya menghilangkan diri sehingga kini dan kanak-kanak malang itu hanya memiliki sijil kelahiran bukan warganegara sahaja yang sempat dibuat oleh arwah anaknya.

"Hak penjagaan diserahkan sepenuhnya kepada Suziraazmawati dan ketika sedang dalam proses akuan pengambilan anak angkat itu sedang dibuat, anak saya meninggal dunia.

"Sufia Az-Zahra juga tidak bersekolah selama dua tahun iaitu tahun satu dan dua kerana tiada dokumen lengkap.

"Ketika proses penyediaan (dokumen) itu anak saya sakit menyebabkan banyak urusan tergendala.

"Kami mohon ibu kandung Sufia Az-Zahra iaitu yang dikenali sebagai Nguyen, 40-an, tampil untuk membantu memudahkan urusan berkaitan cucu angkat saya ini kerana bimbang banyak lagi masalah yang timbul pada masa hadapan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Belukar Tebu di sini, hari ini.

Esah berkata, cucu angkatnya itu sudah dua tahun menetap bersamanya kerana sebelum ini berada di bawah jagaan Suziraazmawati yang berkhidmat sebagai guru dan lokasi terakhir adalah di Pahang.

Bagaimanapun sejak kecil lagi, Sufia Az-Zahra sudah dianggap seperti cucu kandung kerana sering dibawa pulang ke kampung malah sebelum menghembuskan nafas terakhir, Suziraazmawati sudah mengamanahkan anak angkatnya itu kepada Esah.

"Saya sangat sayangkan Sufia serta tidak pernah menganggap dia sebagai orang luar dan layanan yang diberikan sama seperti cucu apatah lagi dia menetap dengan saya.

"Saya merayu kepada ibu kandungnya agar tampil untuk memudahkan proses akuan pengambilan anak angkat.

"Jangan bimbang kami tidak akan serahkan cucu angkat saya ini kepadanya semula kerana mengikut perjanjian mulut dahulu, dia (ibu kandung Sufia) tidak mahukannya lagi," katanya.

Esah Jenal bersama cucu angkatnya, Sufia Az-Zahra. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Esah Jenal bersama cucu angkatnya, Sufia Az-Zahra. FOTO SITI ROHANA IDRIS

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2023 @ 2:53 PM