Redzuan Muharam


Puchong: Tidak seperti kanak-kanak lain, Ikhwan Yunus Mohd Ridzuan membesar dengan masalah tumbesaran disebabkan Achondroplasia iaitu penyakit berkaitan gangguan pertumbuhan tulang atau kerdil.

Bagaimanapun, Ikhwan Yunus, 8, tetap menjadi buah hati ibu, Esah Mohamad@Wong Chin Ken, 41, dan bapanya, Mohd Ridzuan Ali, 39.

Lantaran keunikannya, Ikhwan turut mendapat perhatian netizen selepas ibunya kerap berkongsi videonya di Facebook (FB) dan TikTok.

Bercerita lanjut, Esah yang menetap di Kampung Sri Aman di sini berkata, Ikhwan adalah anak bongsu daripada tiga beradik dan satu-satunya yang dilahirkan kerdil.

"Saya diberitahu doktor mengenai keadaan Ikhwan ketika kandungan berusia 34 minggu hasil ujian imbasan sinar-X.

"Doktor kata ia terjadi begitu kerana tulangnya pendek dan memang saya terkejut kerana tiada dalam kalangan ahli keluarga saya mahupun suami yang kerdil.

"Bagaimanapun, sudah takdirnya begitu jadi nak atau tidak, saya perlu lalui ujian ini" katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Esah berkata, penerimaan orang sekeliling bercampur baur namun lebih ramai yang positif berbanding negatif.

Jauh di sudut hati, Esah mengakui tersinggung dengan kata-kata negatif dilemparkan segelintir individu namun cuba untuk mengabaikannya.

"Habis tempoh berpantang, baru saya beritahu keluarga keadaan Ikhwan.

"Waktu itu, ada yang cakap anak saya dilahirkan begitu kerana terkenan, kata Ikhwan tak boleh berjalan, kaki pendek dan macam-macam lagi.

"Sakit sangat hingga saya jadi patah semangat, namun suami, keluarga terdekat dan rakan beri semangat.

IKHWAN bersama ibunya, Esah di kediaman mereka di Puchong. -FOTO ROHANIS SHUKRI
IKHWAN bersama ibunya, Esah di kediaman mereka di Puchong. -FOTO ROHANIS SHUKRI

"Saya juga cuba pujuk hati untuk berdamai dengan takdir dan syukur dapat terima Ikhwan seadanya," katanya.

Menurutnya, sejak kecil lagi dia sudah beritahu Ikhwan keadaannya yang tidak sama seperti insan lain.

"Saya beritahu dia adik comel dan istimewa malah terus terang mengenai keadaannya kerana mahu dia bersedia.

"Cuma, apabila masuk sekolah, memang ada murid lain yang pandang pelik dan tak kurang juga terlalu jujur apabila bertanya dengan anak saya mengenai keadaannya.

"Situasi begitu yang saya enggan anak hadapi, tetapi adakalanya ia di luar kawalan.

"Apa-apa pun, Ikhwan anak matang walaupun usianya masih muda, malah aktif dan setiap hari dia cuba jadi macam orang lain dengan berdikari kerana enggan cikgu atau rakan di sekolah melayannya seperti insan yang ada kekurangan," katanya.

Esah berkata, tiada apa yang diharapkannya melainkan melihat Ikhwan membesar dengan sihat dan diterima baik oleh masyarakat.

"Saya harap penerimaan positif daripada masyarakat, bukan untuk Ikhwan saja, tetapi juga anak orang kurang upaya (OKU) yang lain.

"Disebabkan itu, saya beranikan diri kongsi mengenai Ikhwan di laman sosial bermula di FB kemudian TikTok sejak lima tahun lalu.

"Bukan kerana nak raih simpati atau kejar populariti, tetapi didik masyarakat bahawa di dunia ini ada anak istimewa seperti Ikhwan kerana ramai juga kurang kesedaran mengenainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 7:00 AM