Nor Fazlina Abdul Rahim


Tumpat: Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan disifatkan tidak bercakap jujur apabila mengatakan DAP lebih baik berbanding Pas menerusi ucapan pada Perhimpunan Agung Umno, semalam.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata ini kerana Ahli Parlimen Rembau itu sebelum ini bercakap sebaliknya.

"Saya wallahi nak cerita, sehari selepas Pilihan Raya Umum (PRU), dia (Mohamad Hasan) ada datang di rumah saya.

"Apa yang disampaikan adalah kepada saya adalah "brother saya nak maklumkan sekiranya Presiden Umno mahu bekerjasama dengan DAP, saya orang pertama yang akan menentang."

"Malah, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut menjadi saksi kepada pertemuan dan kata-kata itu.

"Namun apabila kini beliau mengatakan DAP lebih ikhlas dan lebih baik, apa hal manusia macam ini. Sejak akhir-akhir ini mereka sentiasa bercakap pusing-pusing," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Pasca Banjir PN Sentiasa Bersamamu di Kampung Periok di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

HAMZAH (tengah) diiringi oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob (kanan) menyampaikan sumbangan bantuan kepada mangsa banjir. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
HAMZAH (tengah) diiringi oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob (kanan) menyampaikan sumbangan bantuan kepada mangsa banjir. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, beliau ternyata terkejut apabila mendengar ucapan Mohamad pada PAU semalam.

"Jika mereka mengatakan DAP lebih baik daripada Pas, ini bermakna Umno sudah tidak betul, mana boleh DAP lebih baik.

"Justeru, saya yakin Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti rakyat sudah pasti tidak akan menyokong mereka yang mengatakan DAP lebih baik berbanding Pas," katanya.

Media semalam melaporkan, Umno bekerjasama dengan DAP pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana parti itu tidak bermuka-muka dan berpura-pura dalam setia kawan.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, jika parti itu bersama dengan PN, Umno hanya menjadi pemain ketiga yang berkongsi kepentingan penduduk yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 7:47 PM