GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Seremban: Suri rumah yang terpaksa melahir serta membesarkan anaknya sehingga berusia 19 bulan di penjara, terselamat daripada hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar kanabis seberat 237.86 gram, dua tahun lalu.

Hakim Datin Rohani Ismail membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh R Devaki, 34, yang hamil lima bulan ketika ditahan pada 4 Ogos 2021, di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Rohani berkata, hasil penilaian daripada semua keterangan mendapati pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan bahawa tertuduh mempunyai pemilikan dan pengetahuan terhadap dadah yang ditemui.

"Setelah mendengar penerangan daripada saksi dan pendakwaan serta selepas menimbangkan hujahan dikemukakan oleh kedua-dua pihak, mahkamah memutuskan pendakwaan gagal membuktikan satu prima facie ke atas tertuduh, oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri," katanya.

Rohani turut menasihatkan Devaki yang juga ibu kepada empat anak itu supaya menjaga diri dan berhati-hati ketika berkawan.

Mengikut pertuduhan, Devaki didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 237.86 gram di sebuah rumah di Bandar Dataran Segar, Port Dickson kira-kira jam 7.30 malam pada 4 Ogos 2021.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(а) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.

Seramai lapan saksi dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula sejak 17 April lalu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Maleeha Syed Hussin, manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Wan Emyra Ismail.

Haresh ketika ditemui pemberita memaklumkan, tertuduh melahirkan seorang anak lelaki ketika berada di Penjara Sungai Udang, Melaka dan membesarkannya sehingga berusia setahun tujuh bulan.

Sementara itu, Devaki melahirkan rasa kesyukuran kerana dibebaskan daripada tuduhan terbabit, selain akan menjadikan perkara terbabit sebagai iktibar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 2:52 PM