HAJIJI. FOTO Arkib NSTP
HAJIJI. FOTO Arkib NSTP
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dijangka bakal merombak semula Kabinet kerajaan negeri berikutan terdapat percubaan mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri, semalam.

Memetik laporan Free Malaysia Today, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dijangka bakal menjadi antara menteri yang akan digugurkan daripada barisan Kabinet.

Sumber terdekat kepada Hajiji memberitahu, selain Bung Moktar, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin juga berkemungkinan besar bakal digugurkan dari Kabinet.

Bagaimanapun, menurut sumber terbabit, tidak semua pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah akan digugurkan daripada Kabinet.

"Perkara ini dibincangkan semalam. Namun ia bukan bermaksud (tindakan Hajiji merombak semula kabinet) untuk berpisah dengan BN Sabah.

"Hajiji hanya mahu memastikan kerajaan negeri ingin terus berfungsi," katanya.

Hari ini, media melaporkan seramai tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno Sabah menemui Hajiji selepas perjumpaan pemimpin Umno negeri di Bangunan Umno Sabah, petang semalam.

"Selain tujuh Adun terbabit, sekurang-kurangnya tiga Adun Parti Warisan Sabah (Warisan) juga bertemu dengan Hajiji," jelas sumber.

Difahamkan, Hajiji juga bakal bertemu dengan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) merangkap Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffry Kitingan, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden Warisan Datuk Darell Leiking berkata, pihaknya mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

Semalam, media melaporkan semua Adun Umno Sabah yang diketuai Bung Moktar berkumpul di Bangunan Umno Sabah ketika timbul spekulasi mengenai pertukaran tampuk kerajaan negeri melalui kerjasama Warisan dan BN.

Pada masa sama, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dijadualkan mengadakan sidang media di lokasi berasingan pada 4.30 petang semalam, dipercayai ada kaitan dengan spekulasi berkenaan.

Bagaimanapun, sidang media ditangguhkan selepas pengamal media menunggu lebih dua jam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2023 @ 3:57 PM